
Malaysiakini melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam jawapan bertulis kepada Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) memaklumkan satu kertas siasatan jenayah sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Fahmi bertanya bagaimana kontraktor, Nuemera (M) Sdn Bhd, gagal melindungi data peribadi 46.2 juta akaun telefon bimbit dan apa tindakan diambil terhadap syarikat itu.
Feb tahun lalu, Fahmi turut memfailkan satu saman sivil terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Nuemera atas kegagalan melindungi maklumat peribadi pelanggan telefon bimbit.
Menurut jawapan bertulis yang dipetik Malaysiakini, “pada 26 Jan 2018, SKMM menggantung pelantikan Nuemera kerana mendapati syarikat itu melanggar syarat asas dalam kontrak antara SKMM dan Nuemera. Pada 21 Mei 2018, SKMM mengeluarkan satu notis kepada Nuemera memaklumkan ia tidak memperbaharui perjanjian PCBS bagi lima tahun lagi seperti diperuntukkan sebagai pilihan dalam perjanjian kontrak itu”.
Kebocoran data itu dipercayai berlaku pada 2014, tetapi hanya didedahkan tahun lalu.
Bagaimanapun, kontrak Neumera dipersoalkan bekas ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong pada 2014 yang bertanya bagaimana kontrak bagi sistem penghalang selular peribadi diberikan kepada sebuah syarikat tidak aktif dengan pengarah yang ada kaitan dengan seorang menteri Umno.
Katanya, kontrak itu dianggarkan membawa pendapatan lebih RM80 juta setahun yang dikutip daripada syarikat telefon.
Pada Okt tahun lalu, laman web Lowyat.net melaporkan kebocoran besar-besaran butiran peribadi pelanggan telefon bimbit sebelum SKMM mengarahkannya memadamkan laporan itu.
Jan lalu, Lowyat.net turut melaporkan satu lagi kes kebocoran data peribadi membabitkan butiran peribadi kira-kira 220,000 rakyat Malaysia yang menderma organ dan waris terdekat mereka.
Data itu dilaporkan bocor atas talian sejak Sept 2016.