
Perkara itu diumumkan Alwi ketika membahaskan Belanjawan 2020 Kelantan, yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
“Perkara pertama yang perlu saya sebut ialah biasanya saya dikenali sebagai ketua pembangkang dalam dewan ini untuk beberapa sesi yang lepas. Dewan Undangan Negeri ini terdiri daripada 45 orang Adun termasuk pembangkang dari BN seramai tujuh orang dan PH (1).
“Tetapi ingin saya sampaikan untuk masuk dalam hansard, mulai hari ini selepas Muafakat Nasional, sebenarnya Kelantan sudah tidak ada ketua pembangkang kerana saya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang dan kami semua (BN) penyokong kerajaan,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu diambil hasil keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, Biro Politik Umno dan Muafakat Nasional yang terjalin antara Umno dan PAS 14 Sept lepas.
“Yang tinggal hanyalah seorang pembangkang tunggal tegar (Mustapa Mohamed). Dia tak ada Jemaah, jadi dia pembangkang tunggal.
“Terpulanglah kepada speaker (Abdullah Ya’kub) untuk susun semula kedudukan dalam dewan ini,” katanya.
Alwi turut merakamkan rasa sedih dan dukacita atas kemangkatan Sultan Ismail Petra pada 28 Sept lepas.
“Izinkanlah saya bagi pihak diri dan rakyat untuk menyatakan rasa sedih dan dukacita di atas kemangkatan Sultan Ismail Petra. Semoga Allah merahmati baginda,” katanya.