Projek Demonstrasi 5G selama 6 bulan bermula, kata menteri

Projek Demonstrasi 5G selama 6 bulan bermula, kata menteri

Gobind Singh Deo berkata, Projek Demonstrasi 5G akan dikendalikan lapan syarikat di enam negeri.

Gobind Singh Deo berkata, Projek Demonstrasi 5G dilaksanakan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia mula melaksanakan Projek Demonstrasi 5G selama enam bulan sebagai persediaan sebelum teknologi generasi kelima itu dilaksanakan sepenuhnya.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, projek yang bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan akan dikendalikan lapan syarikat.

“Lapan syarikat terbabit akan membangunkan 55 kes penggunaan 5G di enam negeri, iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes-kes penggunaan 5G ini meliputi sembilan vertikal, iaitu bandar pintar, hiburan, pendidikan, penjagaan kesihatan digital, minyak dan gas, pembuatan dan industri pemprosesan, pengangkutan pintar serta pertanian dan pelancongan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lapan syarikat itu adalah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan Petroliam Nasional Berhad.

Gobind menjawab soalan Teh Kok Lim (PH-Taiping) berhubung rancangan kerajaan dalam kesediaan melaksanakan teknologi jalur 5G.

Gobind berkata, Pasukan Petugas Khas 5G Negara kini dalam fasa terakhir melengkapkan laporan mengenai pelaksanaan 5G sebelum menyerahkannya kepada Kabinet pada suku keempat tahun ini.

Katanya, pasukan itu yang ditubuhkan pada Nov tahun lalu, terdiri daripada empat kumpulan kerja, iaitu perniagaan, infrastruktur, pengurusan dan peruntukan spektrum serta kawal selia.

“Kumpulan kerja ini terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta telah ditugaskan untuk mengkaji strategi pelaksanaan 5G yang holistik dengan analisis daripada perspektif memfokuskan cadangan penyelesaian kekangan undang-undang, perlindungan pengguna dan sebagainya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.