
Wong Yan Ke berkata dia menunjukkan plakad berbunyi “Why VC must resign” (Mengapa naib canselor harus letak jawatan) di pentas konvokesyen sebagai tanda bantahan terhadap Naib Canselor Abdul Rahim Hashim, yang didakwa menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu dua minggu lalu.
Rahim dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman pada Kongres Maruah Melayu anjuran UM dan tiga universiti lain di Shah Alam, yang turut dihadiri wakil PPBM, Umno dan PAS. Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanat.
“Apabila mahasiswa atau para pensyarah mendapati seseorang pemimpin itu tidak berkelayakan, maka kita mempunyai hak yang sah untuk mengkritik,” kata Wong yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam kepada FMT.
Wong juga meminta individu terbabit mengambil tanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada pelajar UM.
Hari ini tular di media sosial video memaparkan soerang graduan membawa plakad sambil melaungkan “Ini Tanah Malaysia” pada majlis istiadat konvokesyennya.
Majlis konvokesyen UM itu dirasmikan oleh Canselor Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah pada Sabtu.
Menurut Wong, Rahim duduk di barisan depan semasa dia menunjukkan plakad itu.
Di Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lepas, Ketua Penganjur Zainal Kling dalam ucapannya mengingatkan kaum lain tentang kontrak sosial mereka dengan orang Melayu, dan menambah Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana China untuk orang Cina dan India negara orang India.
FMT sudah menghubungi UM dan Kementerian Pendidikan untuk kenyataan berhubung kejadian hari ini.
Wong menjelaskan dia bukan bertindak sebarangan, dan sudah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada para pensyarah dan rakannya.
Dia mendakwa para pensyarah juga terkejut dengan kenyataan Rahim, dan menambah ahli akademik dan mahasiswa juga mempersoalkan tuntutan-tuntutan di kongres tersebut.
“Kritikan-kritikan ini hanya berlaku di belakang para pentadbir kerana mereka tiada kuasa untuk mempersoalkan rasional tindakan naib canselor,” katanya.
“Sehinggakan pensyarah-pensyarah mula bertanya sama ada organisasi atau gerakan mahasiswa akan mengambil tindakan kali ini,” tambahnya.
Kongres anjuran UM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diadakan di Stadium Malawati itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.
Beberapa bantahan turut dibuat sebelum ini.
Mengulas perkara itu minggu lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang turut hadir berkata Kesatuan Mahasiswa UM perlu bertemu Abdul Rahim jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati.
Katanya, pertemuan antara kedua-dua belah pihak adalah lebih baik berbanding menyelesaikan isu itu dengan membuat kenyataan kepada media.
“Mereka boleh suarakan rasa tidak puas hati terus kepada naib canselor dan saya percaya beliau seorang yang berfikiran terbuka dan akan mendengar apa yang pelajar mahu suarakan,” katanya.