
Artikel bertajuk “CIA Issues Posthumous Apology After New Evidence Clears Osama Bin Laden Of Involvement In 9/11 Attacks” disiarkan pada 10 Jan lalu oleh The Onion yang khusus dalam satira, tetapi ia muncul semula baru-baru ini apabila dikongsi sesetengah pengguna Twitter.
Musa memberi respons selamba terhadap mereka yang menyatakan artikel itu ialah jenaka dan tidak perlu diambil serius.
Beliau berkata, artikel itu ialah contoh berita palsu dan kerajaan Amerika Syarikat perlu mengeluarkan kenyataan mengenai artikel itu dan The Onion perlu menafikannya.
“Jika tidak, ia bermakna AS membenarkan penyebaran berita palsu.”
Katanya, artikel itu ialah contoh “kewartawanan tidak bertanggungjawab”.
Beliau berkata, “tidak hairanlah dunia huru-hara kerana mereka membenarkan penyebaran berita palsu. Amat mudah untuk mengetahui jika sesuatu itu benar atau tidak” dan integriti CIA boleh dipertikaikan jika ia tidak mengeluarkan satu kenyataan untuk menafikan artikel itu.
Artikel itu turut disiarkan semula Yahoo News dalam ruangan hiburan pada 23 Jan lalu, sebelum ia dipadamkan tanpa sebarang penjelasan.
Ramai pengguna Twitter berusaha menunjukkan latar belakang The Onion dan memberi contoh laman lain yang menyiarkan artikel berita dengan parodi sama.
Ketika berdepan kritikan dan cadangan, Musa tetap tidak mengalah sehingga menyebabkan seorang pengguna Twitter berkata: “Cukuplah. Jangan tunjukkan kebodohan anda lagi. Tamat cerita.”
Musa kemudiannya menjawab: “Kenapa perlu kecoh disebabkan saya berkongsi satu cerita yang tiada kaitan dengan Malaysia. Kita perlu kekal berwaspada terhadap apa yang dilakukan negara yang diangkat sebagai pejuang terhadap keganasan.
Apabila seorang pengguna Twitter berkata, kenyataan bekas ketua polis negara akan menjejaskan pasukan polis, Musa menjawab: “Apa kaitan ini dengan PDRM? Ini mengenai tindakan Amerika terhadap Osama.”
Seorang lagi pengguna yang bertanya jika Musa memahami makna satira, Musa berkata: “Polis menyiasat dan mengumpul bukti terhadap mereka yang terbabit dalam jenayah, tetapi ahli politik mengisytiharkan mereka tidak bersalah dan mereka ditahan secara salah.”
Beliau tidak menjelaskan kenyataan itu secara lanjut, tetapi ia menyusul penahanan dua Adun DAP dan 10 individu lain kerana disyaki ada hubungan dengan kumpulan pengganas di Sri Lanka yang sudah terkubur, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Penahanan itu dikritik sekumpulan ahli Parlimen DAP yang menuntut mereka dibebaskan segera.