
Bercakap pada satu forum mengenai hak tahanan beliau berkata, banduan asing mewakili hampir 40 peratus populasi penjara dan ini menjadi beban besar ke atas Jabatan Penjara.
“Melibatkan negara lain sentiasa merupakan isu rumit. Tidak mudah apabila kita terpaksa berurusan dengan pihak berkuasa asing,” katanya, menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang bekas hakim pada forum itu.
Bekas hakim Mahkamah Tinggi Louis O’Hara bertanya sama ada kerajaan menimbangkan kerangka perundangan tertentu untuk menghantar pulang warga asing ke negara asal untuk menyudahkan tempoh tahanan sebagai satu cara bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara negara ini.
Forum tersebut dimaklumkan bahawa terdapat lebih 70,000 banduan yang kini ditahan di penjara seluruh negara.
Peguam hak asasi manusia Abdul Rashid Ismail berkata, isu lain yang mungkin menjadi penghalang kepada cadangan menghantar pulang banduan warga asing ialah hukuman mati mandatori yang melibatkan kes bunuh, pengedaran dadah, menculik dan kesalahan keselamatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong baru-baru ini berkata, kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati melibatkan 11 kesalahan serius bermula Mac tahun depan.
“Saya bekerja dengan kedutaan asing dan mereka bersedia mengadakan perbincangan dua hala mengenai perkara ini, tetapi nampaknya masa yang diambil untuk memulakan perbincangan itu terlalu lama.
“Bagaimanapun dalam isu banduan akhir, kita tidak boleh menghantar mereka pulang kerana hukuman mati yang dijatuhkan,” kata bekas presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia (Hakam) itu.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan dan pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kai, yang turut bercakap pada forum itu, membangkitkan isu kemungkinan menjatuhkan semula hukuman ke atas banduan akhir.
“Reaksi umum terhadap pemansuhan hukuman mati sangat kuat. Saya tidak fikir ia akan dimansukan sepenuhnya. Terdapat juga hukuman mati budi bicara, yang membenarkan hakim menggunakan budi bicaranya sama ada mahu menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.”
Mah juga mempersoalkan sama ada hukuman mati akan digantikan dengan hukuman sepanjang hayat.
“Walau apapun alternatifnya, hukuman penjara yang panjang seperti 30 tahun mungkin bukan jawapannya,” tambah beliau.