Siapa kerap curang, lelaki atau wanita?

Siapa kerap curang, lelaki atau wanita?

Jika anda mengesan sebarang tanda-tanda yang menjurus kepada perlakuan curang, jangan terus membuat tuduhan melulu tanpa bukti yang sahih.

Kalau bercakap soal cinta, pasti tak dapat lari daripada isu curang.

Tetapi antara lelaki dan wanita, siapa yang paling tidak setia? Hmmm…mesti ada yang kata lelaki dan sudah tentu ada yang menunjuk jari ke arah wanita, bukan?

Yang mana lebih curang?

Secara umumnya, lelaki lebih dikatakan kerap curang berbanding wanita.

Tetapi peratusan kecurangan itu turut dipengaruhi oleh faktor usia.

Faktor lain yang turut membuatkan individu lelaki lebih tidak setia adalah disebabkan oleh cara mereka dibesarkan dalam sesebuah keluarga.

Ini bermakna, penceraian antara ibu bapa turut boleh menyumbang kepada lelaki menjadi tidak setia.

Dalam satu kajian yang telah dilakukan mengatakan peratusan lelaki dan wanita yang curang adalah tidak jauh berbeza.

Namun, sebenarnya terdapat perbezaan pemahaman antara lelaki dan wanita mengenai pengertian kecurangan.

Bagi wanita di Asia, kecurangan itu berlaku apabila pasangan mereka mempunyai perasaan kepada wanita lain walaupun ia tidak melibatkan sentuhan badan dengan “individu ketiga”.

Ini bermakna wanita meletakkan keutamaan kepada emosi.

Manakala berbeza bagi lelaki, sesuatu hubungan itu hanya dikategorikan sebagai curang apabila ia melibatkan sentuhan badan dengan wanita lain selain pasangannya.

Lelaki mudah “kantoi”

Saintis mengatakan wanita boleh membuat penilaian sama ada individu lelaki itu curang atau tidak dengan hanya melihat ekspresi wajahnya.

Dan keadaan ini berbeza dengan lelaki yang sukar untuk mengesan kecurangan yang mungkin dilakukan oleh pasangan mereka.

Berdasarkan kajian oleh penyelidik dari University of Western Australia yang melibatkan 1,500 individu.

Mereka diberikan 189 gambar, iaitu 101 gambar individu lelaki dewasa dan 88 gambar individu wanita dewasa.

Responden terlibat diminta untuk memberikan ranking pada wajah-wajah tersebut pada skala 1 hingga 10, di mana 1 bermaksud “tidak mungkin curang dan 10 untuk “sangat berkemungkinan untuk curang”.

Hasilnya, responden lelaki dan wanita boleh mengesan jika lelaki lain menipu dan tidak setia kepada pasangan.

Namun, daripada gambar wanita yang diberikan, responden lelaki tidak boleh menilai sama ada mereka menipu dalam perhubungan atau tidak.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Royal Society Open Science menyatakan, kecurangan adalah berkait rapat dengan pameran maskuliniti, walaupun penyelidik turut membuat satu kesimpulan lain yang menunjukkan lelaki dengan rupa paras kurang menarik lebih kerap dinilai sebagai setia.

Mengapa tidak setia?

Tidak kira lelaki atau wanita, wujud kecenderungan untuk menjadi individu yang tidak setia dalam perhubungan.

Tetapi mengapa? Berikut antara beberapa sebab dan punca secara umumnya:

Mata duitan
Benci dengan pasangan
Playboy atau kaki perempuan
Tidak suka penampilan pasangan
Tidak serius dalam perhubungan
Bosan dengan pasangan
Muncul kekasih lama
Inginkan lebih perhatian

Tanda wujudnya kecurangan

Jadi bagaimana untuk mengenal pasti sama ada pasangan kita curang ataupun tidak? Haaa…di bawah dikongsikan beberapa gejala yang boleh anda perhatikan.

Privasi
Ini merupakan antara tanda utama. Jika sebelum ini, si dia tidak kisah anda memegang malah menggunakan telefonnya. Tetapi kini, anda langsung tidak dibenarkan menyentuh telefonnya. Lebih menguatkan jika, si dia meletakkan password dan anda tidak tahu apakah password-nya.

Perubahan tingkah laku
Pasangan sudah tidak mesra atau manja dengan anda lagi.

Jika dahulu sering bergurau senda, namun sekarang berubah 100%. Malahan anda berdua mungkin kurang berkomunikasi pun antara satu sama lain.

Pandangan mata
Seboleh-bolehnya, si dia tidak mahu bertentang mata dengan anda.

Pasangan anda lebih gemar mengelak daripada duduk berdepan dengan anda. Haaa…ini boleh menimbulkan syak wasangka, bukan?

Tersasul
Yang ini memang boleh menyebabkan kemarahan.

Bayangkan kalau sebelum ini, anda dan pasangan membahasakan diri sebagai “sayang-abang”, namun secara “tak” sengaja si dia memanggil anda dengan panggilan “baby” atau “dear”. Berjaga-jaga!

Mencari kesilapan
Setiap kesilapan yang anda lakukan walaupun kecil dan tidak disengajakan, si dia akan cuba memperbesar-besarkannya.

Malahan ia akan menjadi ungkitan setiap kali anda berdua berselisih faham.

Tiada kata cinta
Jika dahulu, si dia pasti akan menyatakan,”I love you and i miss you so much”.

Namun kini, terlalu sukar untuk mendengar ungkapan sebegitu walaupun hanya dalam teks. Mungkin anda perlu menyiasat tentang keadaan sebenar.

Naluri
Pastinya anda pernah mendengar ungkapan “percayakan instinct”.

Tidak dinafikan apabila kita menyayangi seseorang, akan wujud instinct yang kuat terhadap pasangan.

Lebih-lebih lagi kalau dalam perhubungan suami-isteri. Jangan pernah abaikan kata hati anda.

Hindari tuduhan melulu

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tetap akan jatuh ke tanah”.

Begitu jugalah situasinya dengan individu yang menipu.

Percayalah sampai satu masa kecurangan dan penipuan mereka pastinya akan terserlah.

Jika anda mengesan sebarang tanda-tanda yang dinyatakan di atas, jangan terus membuat tuduhan melulu tanpa bukti yang sahih.

Jadi sebaiknya siasat dahulu perkara ini.

Dapatkan pandangan dan nasihat daripada individu yang anda percayai.

Setiap masalah ada jalan penyelesaian yang terbaik.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.