Polis Indonesia nafi insiden tikam Wiranto ‘wayang’

Polis Indonesia nafi insiden tikam Wiranto ‘wayang’

Ken Setiawan, bekas anggota utama Negara Islam Indonesia yang diharamkan berkata dia melihat serangan terhadap Wiranto dari perspektif berbeza, permulaan kepada serangan lebih besar.

Polis menafikan serangan menikam Wiranto sengaja diadakan.
JAKARTA:
Jurucakap polis kebangsaan Indonesia Dedi Prasetyo menolak andaian serangan terhadap Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keamanan, Wiranto sebagai sesuatu yang sengaja diadakan.

“Tidak semestinya sengaja diadakan,” kata Dedi di markas polis di Jakarta Selatan, lapor portal Tempo.

Ahli politik Parti Mandat Nasional (PAN), Hanum Salsabiela Rais menerusi akaun Twitternya mendakwa serangan ke atas Wiranto dibesarkan.

“Ia diadakan supaya dana deradikalisasi dapat disalurkan lagi. Beliau mencari perhatian tidak akan dilantik semula.”

“Wiranto mangsa permainan, plot mudah dibaca,” kata Hanum Rais, anak perempuan ahli politik senior PAN Amien Rais. Bagaimanapun, dia memadamkan tweet selepas itu.

Dalam pada itu, Jakarta Globe melaporkan serangan menikam Wiranto mungkin hanya permulaan kepada tindakan keganasan lebih serius menjelang majlis angkat sumpah presiden 20 Okt ini.

Ken Setiawan, bekas anggota utama Negara Islam Indonesia (NII) yang telah diharamkan berkata: “Saya melihat serangan terhadap Wiranto dari perspektif berbeza, bahawa ia hanya permulaan.”

“Sasaran utama adalah menjadikan Indonesia seperti Syria.

“Kelompok-kelompok radikal sedang bersiap-sedia untuk mengadakan serangan menjelang majlis angkat sumpah presiden yang dipilih semula, Joko Widodo.”

Katanya, “ini saat dilihat sebagai satu peluang emas kerana banyak kelompok lain yang menentang pemerintah akan bersedia untuk ke jalan dan menggagalkan majlis.”

Pihak berkuasa bersedia untuk menghadapi peningkatan demonstrasi antikerajaan di ibu negara oleh pelbagai kumpulan sebelum dan semasa majlis angkat sumpah, yang akan menyediakan medan perang yang sempurna untuk militan melancarkan serangan, menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

“Ini merbahaya. Jika bom meletup di tengah-tengah orang ramai, Indonesia akan mengisytiharkan darurat, ini adalah apa yang dikehendaki militan. Keadaan sedemikian akan membuka pintu kepada revolusi menjadikan Indonesia seperti Syria,” jelas Ken.

Wiranto cedera ditikam sejurus keluar dari keretanya untuk menghadiri satu majlis di Banten Khamis lalu.

Ahli politik berusia 72 tahun itu tiba di sebuah majlis di Alun-alun Menes, Kecamatan Pandeglang, untuk menghadiri satu lagi majlis bersama penduduk.

Sejurus keluar dari keretanya, seorang lelaki menyerang dan menikam perut Wiranto menggunakan gunting.

Polis Indonesia dalam kenyataan berkata, dua suspek dikenali sebagai Syahril Alamsyah, 31, dan Fitri Andriana Sunarto, 21, ditahan dalam kejadian itu.

Selain Wiranto, seorang anggota polis dan orang awam turut cedera terkena tikaman gunting lelaki itu.

Wiranto dikejarkan ke sebuah klinik di Pandeglang untuk rawatan awal, sebelum dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Pandeglang untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.