
Kadir yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri berkata, beliau tidak ada nasihat untuk orang politik dan ahli perniagaan yang terlibat dengan isu maruah Melayu.
Sebaliknya kata Kadir, beliau ada nasihat dan cabaran kepada empat universiti awam yang membenarkan ahli-ahli akademiknya mengambil bahagian dalam penganjuran kongres itu, diadakan di Shah Alam pada 6 Okt lalu.
“Saya jenamakannya sebagai cabaran maruah iaitu mereka pastikan yang pelajar Melayu memonopoli senarai dekan dan lulus dengan kecermerlangan tertinggi.
“Kalau tidak, berhentilah daripada bertempik dan berpekik mengenai maruah,” kata beliau dalam artikelnya di Sinar Harian hari ini, di bawah tajuk “Maruah tempatnya dalam hati”.
Kadir dalam tulisannya berkata, baru-baru ini beliau dijemput memberi ucapan kepada sekumpulan lebih 30 penggiat masyarat dari Malaysia dan luar negara yang sedang merangka Akta Kebebasan Bersuara.
“Selain seorang peguam Melayu yang bertindak sebagai penyelaras, saya tidak nampak ada Melayu lain.
“Seperti saya katakan dalam ucapan saya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 23 September lalu, bilangan Melayu yang besar tidak menjamin kelangsungan kalau mereka terus bersikap pasif dan berani hanya dalam kelompok sendiri,” kata beliau.
Sebelum ini, penganjur Kongres Maruah Melayu berkata tafsiran pemimpin politik pembangkang yang mendakwa penganjuran program itu bertujuan menandingi Himpunan Penyatuan Ummah anjuran Umno-PAS adalah tidak benar.
Sebaliknya menurut Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Hashim Ismail, kongres itu diadakan dengan kerjasama tiga universiti lain iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
“Kalau isu ini dipolitikkan, mungkin itu pandangan dari ahli politik. Kita bekerjasama dengan setiap universiti ini dan saya pula hanya menjalankan kerja-kerja dari Naib Cancelor UM Abdul Rahim Hashim. Dia panggil kami dan memberitahu ada isu untuk digerakkan secara akademik, maka kami buat apa yang patut.
“Kongres Maruah Melayu ini antaranya membincangkan mengenai permasalahan orang Melayu melibatkan aspek pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi. Kita sudah berikan topik ini kepada setiap universiti untuk ambil bahagian masing-masing,” katanya kepada FMT.
Hashim berkata, berdasarkan perbincangannya dengan pihak pengurusan, program ini menyasarkan penglibatan orang muda, yang secara tidak langsung merupakan mahasiswa di universiti terbabit serta ahli akademik lain.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanat pada kongres itu yang berlangsung pada 6 Okt lalu.
Penganjuran kongres itu yang dihadiri pemimpin politik dari Pakatan Harapan, Umno dan PAS.