
Lim berkata, seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) ada bertemu dengannya selepas selesai pembentangan itu dan memberitahu peruntukan yang diberikan kali ini adalah sangat menyeluruh seperti yang biasanya diberikan pada tahun pilihan raya umum akan diadakan.
“Saya menjawab bahawa kita perlu buat perubahan daripada kerajaan sebelum ini, iaitu belanjawan kita seperti belanjawan pilihan raya walaupun (tarikh) pilihan raya masih jauh. Kita harap boleh buat begini setiap tahun.
“Kita kena berusaha untuk buat perubahan yang kita janjikan kepada rakyat dan bagaimana susah sekalipun, kita kena berusaha. Setakat ini, banyak reaksi yang diterima yang pada keseluruhannya adalah positif,” katanya.
Lim berkata demikian semasa berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pahang di pejabat DAP Triang di sini hari ini, yang turut dihadiri pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah serta barisan kepimpinan parti.
Beliau juga menyifatkan belanjawan itu sebagai menyeluruh kerana dibuat secara “suci hati bagi membantu rakyat” menyebabkan pembangkang tidak dapat membalas pembentangan tersebut.
“Jika kita menyaksikan pembentangan itu secara ‘live’, pembangkang begitu agresif pada peringkat awal, namun bila saya sudah habis (membentangkan belanjawan) mereka semua sudah menghilangkan diri,” katanya.
Lim berkata, belanjawan itu bukan sahaja bermatlamat meningkatkan ekonomi negara, tetapi juga untuk kebajikan rakyat seperti menyediakan peluang pekerjaan, kesejahteraan wanita, mementingkan aspek pendidikan dan institusi keagamaan.