
Atas rasa kecintaan terhadap sukan yang menjadi darah dagingnya sejak 19 tahun lepas, Chong Wei menyumbang RM1.4 juta kepada BAM untuk pembangunan sukan badminton yang ditinggalkannya pada 13 Sept atas sebab kesihatan.
Sementara untuk MSN, iaitu organisasi yang banyak membantu sepanjang kariernya, disalurkan RM600,000 untuk tujuan persediaan atlet bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah impian saya, tapi saya terpaksa bersara atas sebab kesihatan. Jadi saya harap dengan dana ini, dapat membantu persediaan atlet untuk mereka melayakkan diri ke temasya itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kemuncak Bulan Sukan Negara di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Beliau berkata, yayasan itu juga sedang meneliti cadangan untuk menaja mana-mana atlet yang berpotensi bagi meneruskan karier mereka dalam bidang sukan selain mereka yang sukar mendapat tajaan daripada sektor swasta.
Mengulas mengenai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 yang berbaki lagi sembilan bulan itu, Chong Wei yang juga ketua kontinjen negara menasihati atlet agar menghindarkan diri daripada dilanda kecederaan dalam usaha mereka memburu slot ke temasya lima tahun sekali itu.
“Saya sendiri tidak berjaya menyumbang pingat emas buat negara, namun saya harap atlet yang akan saya bawa ke Tokyo boleh berbuat demikian. Tapi apa yang penting sekarang, kita jangan beri tekanan kepada atlet dulu.
“Sukan Olimpik adalah temasya terbesar dunia dan sudah pasti cabaran memang sukar. Atlet perlu kuatkan mental mereka. Apa yang saya harapkan sekarang ialah semua atlet sihat, tidak mengalami kecederaan dan teruskan memburu kelayakan,” katanya.
Mengenai beberapa sukan yang masih belum mendapat slot ke Tokyo, termasuk badminton, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, semua atlet melalui tempoh yang sukar, khususnya tahun ini kerana cabaran juga tidak kurang sengit daripada atlet negara lain yang mempunyai tujuan sama.
Setakat ini lapan atlet negara layak secara merit ke Sukan Olimpik 2020.
Mereka adalah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (terjun); Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran); Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).