Ramasamy pertimbang saman pemimpin PAS atas dakwaan hasut orang India

Ramasamy pertimbang saman pemimpin PAS atas dakwaan hasut orang India

Ia susulan gesaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali untuk polis menahan P Ramasamy atas 'pembabitannya dalam aktiviti keganasan LTTE'.

P Ramasamy berkata, orang India di Malaysia tentunya marah sekarang, jika beliau berpengaruh untuk menghasut mereka.
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mungkin menyaman pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali kerana menggesa polis menahannya dan mendakwa beliau “mengapi-apikan” kaum India di Malaysia.

Katanya, kenyataan ahli Parlimen Kuala Nerus itu bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya dan dihantar kepada semua media di negara ini.

“Ahli Parlimen itu mendakwa saya mengapi-apikan kaum India di negara ini. Jika itu kesnya, bukankah orang India patut marah sekarang?

“Kalau begitu, saya sangat berpengaruh kerana mampu menghasut orang India seperti yang dikatakan ahli Parlimen dihormati itu. Juga, kenapa saya tidak didakwa atas tuduhan ‘menghasut’?

“Saya akan mengarahkan peguam saya meneliti jika saya boleh saman beliau berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Komtar hari ini.

Terdahulu, Khairuddin dilaporkan berkata, orang “paling penting” yang perlu ditahan sekarang ialah Ramasamy kerana beliau “terbabit dalam aktiviti keganasan LTTE”.

Beliau turut menyenaraikan 20 kenyataan Ramasamy menghasut orang India dalam pelbagai topik.

Khairuddin memuji polis atas penahanan dua Adun DAP di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pemisah di Sri Lanka yang sudah terkubur.

Ramasamy berkata, Khairuddin patut mempertimbangkan 20 dalil kenapa penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik perlu ditahan, selepas tampil dengan senarai 20 kenyataan beliau menghasut kaum India.

“Lebih baik Khairuddin beri kami 20 dalil kenapa Zakir Naik patut ditahan. Kenapa beliau tidak mempersoalkan tindakan Naik mengapi-apikan pertelagahan antara kaum di Malayisa? Nampaknya PAS sedang bersubahat dengan Naik sekarang.

“Mungkin polis patut siasat pemimpin PAS menerima dana 1MDB. Adakah beliau terima dedak?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.