Pembangkang kesal Guan Eng campuri urusan polis tahan 7 disyaki ada kaitan LTTE

Pembangkang kesal Guan Eng campuri urusan polis tahan 7 disyaki ada kaitan LTTE

Ia susulan kenyataan Lim Guan Eng yang berkata, polis berjanji tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan.

Seorang daripada tujuh individu yang ditahan polis semalam kerana disyaki mempunyai hubungan dengan LTTE.
KUALA LUMPUR:
Pembangkang kesal dengan dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencampuri urusan polis dalam penahanan dua Adun parti itu yang disyaki ada hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas Lim berkata, polis berjanji tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan.

Mereka juga berharap polis tidak tunduk kepada tekanan politik ketika menyiasat kes itu.

“Siasatan dan tangkapan mesti diteruskan, termasuk terhadap mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan.

“Pembangkang turut kesal dengan kenyataan (pemimpin DAP) menyamakan perjuangan LTTE dengan rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin untuk mendapatkan kembali negara mereka yang dirampas.

“Janganlah jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE. Buatlah kajian sejarah terlebih dahulu,” katanya di lobi Parlimen hari ini menjelang pembentangan Belanjawan 2020 oleh Lim yang juga menteri kewangan.

Sidang media itu turut dihadiri wakil rakyat PAS, parti komponen Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ismail Sabri berkata, pembangkang turut mendesak peguam negara bertindak adil apabila kertas siasatan berhubung cubaan menghidupkan kembali LTTE diserahkan kepada mereka.

“Jika pemimpin DAP mengatakan kerjasama Umno-PAS akan membentuk kerajaan Taliban, nampaknya DAP yang menyokong LTTE ialah gerakan diisytiharkan pertubuhan pengganas dan amat jelas tidak diterima masyarakat dunia.

“Kita berharap peguam negara akan buat keputusan secara adil sebab kita tahu sebelum ini Jabatan Peguam Negara membuat keputusan beberapa isu berat sebelah,” dakwanya.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini berkata, LTTE ialah kumpulan pengganas, bukannya pejuang hak masyarakat Tamil di Sri Lanka.

Katanya, pimpinan DAP berhak menyuarakan pandangan mereka yang menganggap LLTE bukan kumpulan pengganas, tetapi polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati mempromosi, menyokong dan membiayai kumpulan LTTE.

Semalam, Ayob dilaporkan berkata, Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan serta Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan bersama lima individu lain kerana disyaki ada hubungan dengan pihak yang cuba menghidupkan kembali LTTE di Malaysia, selepas kumpulan pengganas itu terkubur susulan kematian pengasasnya dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka 10 tahun lalu.

Katanya, tujuh individu yang ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak itu, berada dalam pemantauan polis sejak Nov lalu.

Mereka semua ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Susulan itu, 16 pemimpin India daripada DAP dan PKR menggesa tujuh individu itu dibebaskan kerana menyifatkan penahanan itu “di luar pemahaman”.

Mereka berkata, ia bukan perkara luar biasa jika masyarakat Tamil bersimpati dan bimbang dengan keadaan warga Tamil di Sri Lanka, seperti umat Islam di Malaysia yang bersimpati dengan rakyat Palestin dan etnik Rohingya di Myanmar.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk menubuhkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia tidak patut dijadikan pusat untuk LTTE menyambung semula aktiviti mereka.

“Isu ini merupakan isu yang serius kerana mampu mengancam keselamatan negara.

“Kerajaan Malaysia dan dunia maklum LTTE diisytiharkan kumpulan pengganas dan diharamkan di Sri Lanka,” katanya yang turut disokong Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man mewakil PAS dan Nancy Shukri yang mewakili GPS.

Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein membidas tindakan pemimpin DAP mempertahankan penahanan dua Adun parti itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Mereka harus menghormati agensi berkenaan, mereka mesti menghormati proses siasatan dan biarkan proses siasatan berjalan supaya kita boleh cari kebenaran.

“Ini bukan isu politik, bukan isu kaum, tetapi ini menyentuh keselamatan negara, jadi agensi kita mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut, bimbang, gusar dan campur tangan pihak lain.”

Beliau yang yakin dengan kemampuan dan profesionalisme polis, meminta rakyat memberi ruang kepada polis untuk menyiasat kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.