Pakar dakwa ideologi LTTE berselindung di sebalik organisasi politik

Pakar dakwa ideologi LTTE berselindung di sebalik organisasi politik

Terdapat NGO lain yang menggunakan nama agama dan kemanusiaan untuk mengembangkan ideologi politik dan ganas tanpa dikesan pihak berkuasa.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan Unimap, Mohd Mizan Aslam.
PETALING JAYA:
Pakar antikeganasan menepis dakwaan kumpulan pemisah di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sudah terkubur dengan mendedahkan penyebaran ideologi itu giat dijalankan di Malaysia termasuk melibatkan pemimpin-pemimpin politik dan bukan kerajaan.

Pakar Kajian Strategik dan Ancaman Keganasan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Mohd Mizan Aslam berkata, kematian pengasas LTTE pada 2009 ketika operasi ketenteraan Sri Lanka bukan penamat perjuangan kumpulan itu.

Mizan mendakwa penyebaran ideologi LTTE sedang dikembangkan di Malaysia dan ia berselindung di sebalik sekelompok individu yang berpengaruh dalam politik termasuk segelintir pemimpin dalam DAP.

“Ideologi ini sedang berkembang pesat dalam negara kita kerana dilindungi oleh sekelompok mereka berpengaruh dalam politik (DAP).

“Mereka guna segelintir pemimpin parti yang sah seperti mereka dalam DAP untuk menjalankan dakyah secara halus dan akhirnya akan merosakkan parti itu sendiri. Jika mereka ‘declare’ LTTE atau MCC (Malaysian Ceylon Congress) sejak dari awal akan disekat, maka mereka guna parti yang sah seperti DAP dan mungkin pertubuhan lain untuk meneruskan agenda LTTE.

“Mereka menggerakkan ideologi menggunakan strategi menjadikan organisasi politik atau organisasi sah sebagai jalan mudah dan selamat dalam mengembangkan ideologi mereka,” katanya kepada FMT.

Tambah beliau, selain segelintir yang ada dalam DAP, terdapat NGO lain yang menggunakan nama agama dan kemanusiaan untuk mengembangkan ideologi politik dan ganas tanpa dikesan pihak berkuasa.

Mizan juga yakin apa yang berlaku melibatkan segelintir pemimpin DAP, tidak diketahui parti itu, termasuk pemimpin kanan seperti penasihatnya Lim Kit Siang, Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan mendiang Karpal Singh.

“Malah, saya yakin pimpinan DAP seperti Kit Siang, Guan Eng termasuk mendiang Karpal juga tidak tahu ada unsur-unsur sebegini dalam DAP,” kata beliau.

Ahli panel pakar deradikalisasi kementerian dalam negeri itu berkata, LTTE juga disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas pada 1980 oleh 32 negara termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Interpol.

Katanya, ideologi ekstrem LTTE terus berkembang tanpa sempadan negara, waktu dan parti politik. Kumpulan itu juga didakwa lebih merbahaya dari Al-Qaeda dan IS.

“LTTE adalah kumpulan pengganas paling bersistematik, mempunyai kumpulan askar sendiri, perisik terlatih dan skuad pengebom berani mati.

“LTTE dilatih oleh anasir luar terutama perisik antarabangsa. LTTE satu-satunya kumpulan pengganas yang membunuh pemimpin utama negara. Mereka melakukan serangan bom berani mati dan tembakan tepat, termasuk Rajiv Gandhi, perdana menteri India pada 1991 dan Ranasinghe Premadasa, perdana menteri Sri Lanka pada 1993.”

Mizan berkata LTTE juga merupakan kumpulan pengganas pertama melakukan modus operandi meletupkan diri menggunakan kanak-kanak dan wanita, sebagai skuad berani mati dengan cara menculik dan mengindoktrinasi mereka dan pernah menyerang Masjid Kottakundy, menyebabkan kematian 147 jemaah pada 1990.

Tambah beliau, sejarah juga menunjukkan LTTE merupakan kumpulan pengganas pertama melakukan pembunuhan beramai-ramai kerana didakwa mahu mewujudkan negara Tamil sepenuhnya.

“Kumpulan itu juga mendapat sumber kewangan melalui aktiviti penjualan senjata api, perkapalan dan sumbangan dana peribadi di seluruh dunia. Mereka juga mempunyai jaringan di seluruh dunia termasuklah di Amerika Syarikat, Kanada, Finland, Sweeden dan Malaysia.”

Tangkapan penyokong LTTE tepat

Di Malaysia pula, kumpulan itu ditubuhkan atas nama MCC pada 1970-an.

“Tumpuan mereka di sekitar Klang, Sentul, Pulau Pinang dan Brickfields. Melakukan majlis memperingati pahlawan yang terkorban dalam perjuangan LTTE dikenali sebagai Maaveeran Thiran (sembah AK-47). Inilah antara insiden membawa kepada penangkapan mereka di Malaysia termasuk terbaru tujuh individu semalam,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, tindakan pihak berkuasa membuat tangkapan ke atas individu yang mendokong LTTE adalah tepat.

“Ancaman LTTE dan lain-lain kumpulan pengganas tidak boleh dipandang sepi, ancaman pengganas merentasi agama, sempadan dan etnik.

“Tapi bagi masyarakat awam yang tidak faham, mereka akan lihat perkara ini dipolitikkan, dipergunakan dan pihak polis atau keselamatan dianggap tidak menjalankan tugas secara profesional. Inilah taktik yang dilakukan kumpulan ini sekarang,” katanya.

Semalam Bukit Aman mengesahkan penahanan tujuh individu termasuk dua Adun DAP kerana terlibat dalam usaha menghidupkan semula LTTE di Malaysia.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan penahanan itu membazir masa dan sumber polis kerana LTTE tiada cawangan di Malaysia.

Kritikan juga dibuat pemimpin-pemimpin kaum India dalam Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama 16 pemimpin India dari DAP dan PKR, mereka menyifatkan penangkapan itu “di luar pemahaman” dan menggesa pembebasan mereka yang ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.