Kerajaan rangka Akta Tanggungjawab Fiskal, kata Guan Eng

Kerajaan rangka Akta Tanggungjawab Fiskal, kata Guan Eng

Ia untuk memastikan kestabilian fiskal, ketelusan dan kebertanggungjawaban di sektor awam.

PETALING JAYA: Kerajaan sedang merangka Akta Tanggungjawab Fiskal untuk memastikan kestabilan fiskal, ketelusan dan kebertanggungjawaban di sektor awam, dan dijangka dibentangkan pada 2021, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sebahagian daripada pembaharuan institusi, Lim berkata kerajaan akan menambahbaik proses sistem belanjawan berasaskan sifar dalam pengagihan sumber, di samping memperkemas proses tender terbuka.

“Program dan projek berimpak tinggi akan diberi keutamaan sementara pembaharuan institusi akan membantu mengurangkan ketirisan,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan juga dijangka memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan dengan tujuan mengalakkan tadbir urus yang baik dalam menguruskan perbelanjaan awam pada 2020.

Lim berkata kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal dan tahap hutang berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Beliau berkata langkah memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan diperlukan untuk mencapai kestabilan makroekonomi dan menyokong agenda pembangunan negara dalam jangka masa panjang.

“Dalam hal ini, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) telah ditubuhkan untuk membuat kajian menyeluruh mengenai sistem percukaian melalui rasionalisasi pelbagai insentif cukai, memperkemas pentadbiran cukai dan meneroka sumber hasil baharu yang mampan tanpa membebankan rakyat.

“Jawatankuasa Pengurusan Hutang (DMC) telah ditubuhkan untuk menyelaras pengurusan semua hutang, jaminan dan liabiliti Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Lim berkata sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan kelembapan pertumbuhan global.

Dalam persekitaran global yang mencabar, penting bagi kerajaan mempunyai dasar yang fleksibel untuk memastikan pertumbuhan domestik terus kukuh seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kerajaan sentiasa memantau rapi semua perkembangan luaran dan akan bertindak mengikut keperluan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Bertemakan “”Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”, Belanjawan 2020 merupakan belanjawan negara kedua kerajaan Pakatan Harapan selepas membentuk kerajaan pada Mei 2018.

Tahun 2020 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan menjadi tahun asas kepada penetapan hala tuju RMK12 (2021-2025).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.