
Katanya, polis perlu membebaskan Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran serta lima yang lain atau mendakwa mereka di mahkamah supaya mereka berpeluang membela diri.
Beliau mengingatkan Pakatan Harapan mengenai janjinya dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu untuk menghapuskan peruntukan bersifat drakonian dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang digunakan untuk menahan tujuh individu itu.
Katanya, LTTE sudah terkubur di Sri Lanka selepas berakhirnya perang saudara yang berlarutan selama 26 tahun pada 2009, dengan ketuanya terkorban dalam operasi ketenteraan kerajaan negara itu.
“Lebih 10 tahun sudah berlalu dan amat tidak masuk akal untuk membayangkan kebangkitan semula LTTE di Malaysia, apatah lagi membabitkan pemimpin-pemimpin DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, LTTE ialah kumpulan pengganas, bukannya pejuang hak masyarakat Tamil di Sri Lanka.
Katanya, pimpinan DAP berhak menyuarakan pandangan peribadi mereka yang menganggap LLTE bukan kumpulan pengganas, tetapi polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati mempromosi, menyokong dan membiayai kumpulan LTTE.
Lim berkata, selama 53 tahun DAP komited memperjuangkan politik aman serta demokratik, dan beliau percaya dua Adun parti itu komited dengan perjuangan parti.
Katanya, sejajar perubahan kerajaan pusat, polis perlu mengubah mentaliti dan strategi berhubung keselamatan negara serta soal perbezaan pendapat.
Selagi akta drakonian tidak dihapuskan, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme semak dan imbang bagi memastikan semangat serta janji PH melahirkan Malaysia Baru dan tidak berlaku salah guna kuasa.
“Parlimen sudah membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri. Polis perlu hadir di depan jawatankuasa pilihan khas ini untuk menjelaskan bagaimana polis menjalankan tugasnya di bawah kerajaan PH sejajar komitmen PH mahu mentadbir secara telus dan bertanggungjawab.
“Bagaimana polis akan mematuhi komitmen PH untuk tidak menyalahgunakan kuasa mengikut peruntukan drakonian dalam akta-akta yang menindas sehingga ia dimansuhkan.”