Bantuan khas RM500: Cuepacs terima dengan ‘tangan terbuka’

Bantuan khas RM500: Cuepacs terima dengan ‘tangan terbuka’

Bantuan khas RM500 kepada penjawat awam untuk gred 56 ke bawah dan RM250 kepada pesara kerajaan amat baik, kata Presiden Azih Muda.

Presiden Cuepacs, Azih Muda.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana Belanjawan 2020 menyediakan bantuan khas untuk penjawat awam dan pesara kerajaan.

Presiden Azih Muda berkata bantuan khas RM500 kepada penjawat awam untuk gred 56 ke bawah dan RM250 kepada pesara kerajaan itu amat baik.

“Cuepacs terima dengan tangan terbuka dalam menghadapi kos sara hidup tinggi,” katanya kepada FMT.

Perkara tersebut diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kedua-dua bantuan itu akan dibayar sebelum akhir 2019.

Sementara itu, Azih juga menarik perhatian kepada Kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun, dan faedah ex-gratia kematian kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150,000.

Beliau juga menyebut tentang membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai.

“Bayaran gantian ini bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun disambut baik,” katanya kepada FMT.

Di Dewan Rakyat, kerajaan merakamkan penghargaan kepada tentera, polis, bomba, kastam, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti mereka.

Lim juga berkata kerajaan menawarkan perlindungan kemalangan diri berkelompok bernilai RM100 ribu secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baru kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Sebagai tambahan, bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) akan diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.