Grab: Masa menunggu mungkin lebih lama bermula Sabtu

Grab: Masa menunggu mungkin lebih lama bermula Sabtu

Grab menyasarkan sekurang-kurangnya 150,000 pemandu melepasi proses PSV, tetapi setakat ini hanya 41 peratus mendapat lesen mereka.

Setiap hari Grab menerima satu juta tempahan perjalanan, dan secara purata pengguna diambil dalam tempoh enam minit.
PETALING JAYA:
Pengguna Grab mungkin perlu menunggu lebih lama apabila peraturan berkaitan perkhidmatan e-panggilan mula berkuat kuasa pada Sabtu 12 Okt ini ketika kurang separuh daripada pemandu syarikat berkenaan memperoleh lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) mereka.

Dalam satu kenyataan, Grab berkata, ia menyasarkan sekurang-kurangnya 150,000 pemandu melepasi proses PSV itu, tetapi setakat ini hanya 41 peratus mendapat lesen mereka.

“24 peratus yang lain masih menunggu, sama ada bagi mendapatkan keputusan ujian atau untuk mendudukinya.”

Kata Grab, kira-kira 24 peratus pemandu menarik diri dengan memberikan pelbagai sebab, termasuk masa dan kos untuk mematuhi peraturan itu.

Setiap hari Grab menerima satu juta tempahan perjalanan, dan secara purata pengguna diambil dalam tempoh enam minit.

“Bagaimanapun keadaan ini boleh berubah selepas 12 Okt

“Dengan jumlah pemandu-rakan kongsi lebih sedikit di jalan raya untuk melayan permintaan e-panggilan yang sentiasa bertambah, pengguna terpaksa menunggu lebih lama, terutama pada masa puncak dan hari hujan.”

Menurut Grab, penumpang perlu menempah perjalanan mereka lebih awal daripada biasa dan tidak membatalkan perjalanan apabila mereka memperolehinya, walaupun sekiranya masa menunggu menjadi lebih lama.

“Mendapatkan perkhidmatan di luar waktu puncak dari 7pg ke 9pg dan 5ptg ke 8mlm adalah lebih mudah,” katanya, selain berharap ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan akan hanya bersifat sementara.

Grab juga mengalu-alukan pengumuman Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bahawa syarat tambahan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak diwajibkan.

Ini termasuklah peraturan yang menghendaki pemandu mencetak salinan fizikal permit kenderaan e-panggilan (ePV) dan menukar kod kenderaan mereka di cawangan JPJ.

“Sehubungan itu, pendaftaran kenderaan e-panggilan tidak akan dimasukkan dalam geran kenderaan.”

Kerajaan berkata, ia tidak akan menangguhkan pelaksanaan peraturan melibatkan perkhidmatan e-panggilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.