
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun berkata, kertas siasatan tersebut belum dirujuk ke Jabatan Pendakwaan negeri.
“Kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mior berkata polis menerima tiga laporan berhubung dakwaan kekasaran tersebut.
“Satu laporan daripada lelaki Yaman, satu laporan daripada pihak penganjur acara tertutup itu dan satu lagi daripada hadirin yang hadir,” katanya sambil menambah beberapa saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, polis memandang serius dakwaan tersebut dan siasatan rapi telah dibuat.
“Kita turut memanggil beberapa saksi dan individu untuk kawad cam untuk membantu siasatan” katanya.
Tambahnya, seramai 68 hadirin yang hadir termasuk kanak-kanak dan hanya lapan orang ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, awal bulan lalu.
Sebelum ini, beberapa saksi serbuan memberitahu FMT mengenai layanan kasar yang dialami pengikut Syiah yang ditahan dalam serbuan dalam sebuah acara tertutup sempena hari Asyura itu, termasuk dakwaan pistol diacu pada seorang warga Yaman.
Seorang saksi juga mendakwa polis sudah melangkaui bidang kuasa apabila mengambil bahagian dalam tangkapan, mengatakan tugas mereka hanyalah untuk menjaga keamanan.
Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din kemudiannya dilaporkan berkata pihaknya sedang melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika hasil siasatan mendapati dakwaan tersebut adalah palsu.