
“Ini juga selaras dengan matlamat yang didukung oleh Agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan di mana, pendekatan pembangunan inklusif tidak akan meminggirkan sesiapa pun di bawah prinsip ‘leaving no one behind’.
“Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan, dan negara yang bersatu, makmur dan bermaruah,” kata beliau.
Mahathir berkata, wawasan yang dilancarkan itu juga memberi fokus kepada pertumbuhan lebih saksama, memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.
“Melalui cara ini kita akan mengembalikan kepercayaan kepada pasaran dan pelabur dan mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baru. Dengan pertumbuhan, pengagihan ekonomi dapat dilakukan dengan lebih baik.
“Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030,” kata beliau melancarkan WKN2030 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata, pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama akan menjadi penanda aras baharu kepada hala tuju negara yang akan memandu pembangunan sosioekonomi sehingga 2030.
Ia akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi negara melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, memperkasa kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang pendapatan serta pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.
Katanya, wawasan yang dicetuskan oleh perdana menteri itu akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia.