Tunjuk perasaan bantah hapus subsidi minyak, Ecuador isytihar darurat

Tunjuk perasaan bantah hapus subsidi minyak, Ecuador isytihar darurat

Satu mogok dilancarkan bagi menentang penghapusan subsidi minyak yang membawa kepada keganasan.

Presiden Ecuador Lenin Moreno berkata, subsidi minyak merupakan ‘gangguan yang merosakkan ekonomi’ negara itu. (Gambar AFP)
ANKARA:
Presiden Ecuador Lenin Moreno pada Khamis mengisytiharkan darurat selama dua bulan susulan tunjuk perasaan membantah penghapusan subsidi minyak, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Satu mogok pekerja pengangkutan dan pemandu teksi dilancarkan di seluruh negara bagi menentang penghapusan subsidi tersebut yang membawa kepada tunjuk perasaan antikerajaan dan keganasan.

Kerajaan menghapuskan subsidi minyak yang diberikan selama empat dekad pada Selasa sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi memperoleh pembiayaan.

Moreno menyifatkan subsidi itu sebagai “satu gangguan yang menyebabkan kemerosotan ekonomi negara” dalam pengumuman rasmi, menurut saluran TV Telesur yang berpangkalan di Caracas.

Beliau juga berkata, mereka bertekad tidak akan mengubah keputusan berkaitan “kesemua subsidi tidak munasabah itu yang merosakkan negara.”

Menteri Dalam Negeri Maria Romo berkata, 19 orang ditahan susulan tunjuk perasaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.