
Beliau berkata, kementeriannya menerima tawaran daripada dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Berhad yang “lebih menarik” dan bermanfaat kepada rakyat berbanding tawaran sebuah konsortium yang diketuai kumpulan ekuiti swasta berpangkalan di Singapura dan Hong Kong.
“Apabila anda terima tawaran entiti perniagaan, ia ada unsur keuntungan. Jika tiada unsur keuntungan, mereka tidak akan membeli,” katanya mengulas laporan mengenai sebuah konsortium diketuai kumpulan ekuiti swasta berpangkalan di Singapura dan Hong Kong membuat tawaran mengambil alih PLUS.
Reuters melaporkan RRJ Capital mengemukakan RM3 bilion untuk mengambil alih lebuh raya itu.
Lim bagaimanapun berkata, dia belum melihat cadangan berkenaan.
Mengenai usaha kerajaan menyelesaikan hutang RM1 trilion, katanya, Malaysia sedang melakukan “kemajuan yang memeritkan dan sukar”.
“Ia tidak mudah. Ia tidak boleh dilakukan semalaman, RM150 bilion tidak boleh diselesaikan semalaman.”