
“Wakil Taliban Afghanistan berada di Islamabad tetapi mereka akan bertemu Zalmay Khalilzad,” kata Qureshi kepada Hum News pada Khamis lapor agensi berita Anadolu.
Tiada cara lain kecuali mengadakan dialog untuk mengembalikan keamanan yang berkekalan di Afghanistan dan rantau ini, katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran mengenai masa pertemuan itu.
Seorang pegawai kanan Kementerian Luar yang enggan dikenali berkata pertemuan itu dijangka diadakan hari ini selepas solat Jumaat atau Sabtu pagi.
Delegasi 12 anggota dari pejabat politik Taliban Afghanistan di Doha tiba di Islamabad Rabu malam atas undangan pemerintah Pakistan.
Ia merupakan kunjungan pertama delegasi itu sejak menubuhkan pejabat politik di Qatar pada 2013.
Khalilzad, perunding perdamaian AS bersama delegasinya tiba di Islamabad pada Selasa.
Pada Khamis, delegasi Taliban melawat Kementerian Luar Pakistan dan bertemu dengan Qureshi dan beberapa pegawai kanan lain.
Menurut kenyataan kementerian, Pakistan dan Taliban bersetuju mengenai perlunya “rundingan damai semula” yang terhenti dengan AS dalam usaha menamatkan konflik selama 18 tahun di Afghanistan.