
Peguam, Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan berkata, ini berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bukti yang diberikan saksi pendakwaan.
Beliau berkata, anak guamnya meminta wang itu daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong untuk tujuan itu.
Katanya, Tengku Adnan yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan memberitahu Chai kira-kira RM5 hingga RM6 juta diperlukan apabila Chai tanya berapa banyak yang perlu disumbangkannya.
“Chai mendepositkan RM2 juta ke akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd, di mana tertuduh ialah pemegang saham majoriti. Wang itu bukan untuk manfaat tertuduh,” katanya dalam hujah penutup kes itu.
Tan berkata, PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan pada Jun 2016.
Peguam itu berkata, Chai yang merupakan saksi utama pendakwaan turut mengesahkan perkara itu dalam pemeriksaan balas yang dia memberikan wang itu kepada tertuduh sebagai sumbangan politik.
“Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak mencabar bukti itu ketika pemeriksaan semula.”
Beliau berkata, bukti itu sebenarnya menunjukkan kegagalan kes pendakwaan kerana penderma sudah tampil ke mahkamah untuk memberi keterangan.
“Keterangan Chai bercanggah dengan pertuduhan ke atas tertuduh. Saksi itu berkata wang itu untuk Umno membiayai PRK.”
Tan berkata, Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings, Mohd Hasbi Jaafar turut menyokong RM2 juta yang didepositkan itu untuk tujuan politik.
“Hasbi hantar satu penyata bank kepada tertuduh untuk memaklumkan wang itu sudah dimasukkan. Tertuduh kemudiannya memberitahu Hasbi, ia untuk Umno.”
Beliau berkata, Hasbi dan Tengku Adnan memberitahu pegawai penyiasat SPRM, Muhamad Saad Bordani ketika soal siasat yang wang itu untuk membiayai dua PRK.
“Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak tanya Saad perkara itu ketika beliau tampil sebagai saksi.”
Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada Chai, walaupun tahu syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan kementeriannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda.
Penghujahan diteruskan di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.