
Bagaimanapun, pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin mengakui sudah ada beberapa nama yang dilihat berpotensi untuk dipilih sebagai calon kawasan Parlimen itu.
“Hari ini tidak lagi (bincang senarai calon). (Tetapi) itu satu perkara yang kita selalu ambil perhatian. Kita sudah ada juga beberapa nama tetapi kita (masih) ada masa.
“Kita akan putuskan yang mana sesuai, yang popular, yang berhemah, yang berpendidikan, yang mungkin (anak) tempatan.
“Kita akan kemukakan kepada pimpinan PH untuk diterima dan diputuskan (kemudian),” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH Johor di pejabat PPBM Bahagian Pagoh di Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.
Menteri dalam negeri itu, yang juga presiden PPBM, turut mengesahkan calon adalah daripada parti tersebut.
“Setakat ini, kita berpegang kepada apa yang diputuskan berdasarkan pilihan raya umum lepas, kecuali ada keputusan baru dibuat oleh pimpinan tertinggi. Kita kata kerusi ini adalah yang ditandingi PPBM, tetapi waktu pertandingan kita tak sebut PPBMlah, ini adalah (calon) PH,” kata beliau.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada senarai calon ada dibincang pada mesyuarat itu dan adakah calon masih lagi daripada parti Bersatu.
Menyifatkan PRK itu sebagai persaingan yang boleh dikatakan mencabar, Muhyiddin berkata, PH tidak memandang mudah PRK berkenaan kerana ia dilihat signifikan kerana menjadi perhatian bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Kita tidak pandang mudah. Saya percaya pihak pembangkang pun bersedia untuk mencabar, tapi ini adalah demokrasi, kita akan menghadapinya dengan penuh tabah dan kita akan hadapi realiti.
“Apapun situasinya, kita berharap pengundi yang ada di kawasan Tanjung Piai yang merangkumi lebih 52,000 orang akan memberikan sokongan yang padu,” katanya.
Turut hadir pada mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah setiausaha PPBM Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal serta barisan kepimpinan tertinggi negeri parti komponen.
Antara yang hadir timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub, pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan pengerusi PPBM Johor Mazlan Bujang.
Turut diputuskan pada mesyuarat itu ialah pelantikan Dr Sahruddin sebagai pengarah jentera PH bagi pilihan raya kecil itu.
PRK yang dijadualkan pada 16 Nov ini diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.
Md Farid, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, meninggalkan seorang balu dan tiga anak perempuan.