‘Penyewa dari neraka’: Pemilik terpaksa daki sampah sarap

‘Penyewa dari neraka’: Pemilik terpaksa daki sampah sarap

Rumah sewa seharusnya dijaga dengan baik dan pulangkan kepada tuan rumah juga dalam keadaan baik dan bukannya bersikap kejam dan pengotor sehingga menyusahkan banyak pihak.

Kisah rumah sewa yang ditinggalkan dalam keadaan teruk seringkali kita dengar.

Malah ada tuan rumah terpaksa membelanjakan beribu ringgit membaiki semula rumah mereka yang rosak itu.

Jangan kata rumah ditinggalkan dalam keadaan “tongkang pecah” tapi lagi teruk daripada itu apabila sampah hampir menutupi keseluruhan rumah tersebut.

Jadi tak salah jika mereka digelar sebagai “penyewa dari neraka”.

Kejadian yang berlaku di rumah flat Bukit Gedung Bayan Baru, Pulau Pinang itu ternyata menggemparkan penduduk sekitar malah netizen juga berasa terkejut dengan sikap penyewa tersebut.

Hampir keseluruhan rumah itu dipenuhi timbunan sampah sehingga mencecah siling.

Seorang pengguna Facebook yang berkongsi gambar-gambar dan video mengenai keadaan rumah tersebut berkata rumah yang memiliki dua bilik itu adalah milik keluarga rakannya.

Difahamkan pemilik akaun Facebook yang hanya mahu dikenali sebagai Hang Dhamin mula menyewakan rumahnya kepada seorang ibu pada 2016 dengan sewa bulanan RM350.

Pada mulanya semua kutipan sewa berjalan lancar sehinggalah ia mula tidak dibayar sejak akhir 2017.

Keluarga rakannya kemudian meminta rumah tersebut dikosongkan kerana banyak tunggakkan serta pelbagai alasan lain, namun penyewa hilang apabila mereka mahu mendapatkan semula kunci rumah dan meminta mereka membaiki kerosakan.

Mak penyewa pula seolah-olah melarikan diri malah ramai penduduk mengadu mengenai keluarga penyewa tetapi tak berani sebab mereka kaki gaduh.

Keluarga rakan terpaksa mendapatkan khidmat guaman tahun lalu bagi menyelesaikan kes ini.

Apabila sudah hantar notis, ibu penyewa kemudiannya beri kerjasama malah laporan polis dibuat atas sebab keselamatan sebelum mengambil semula rumah itu.

Hang Dhamin berkata, proses membersihkan rumah berkenaan mengambil masa enam hari sejak Rabu minggu lalu, hanya untuk kerja-kerja membuang segala sampah-sarap dengan tujuh lori terbuka.

Malah mereka juga terpaksa panjat dari pintu untuk masuk ke bilik dek kerana bahagian lain ditimbuni sampah hampir mencecah siling.

Rumah tersebut juga dipenuhi lipas dan semut serta bangkai kucing.

Tidak boleh dibayangkan bau busuk bangkai kucing dengan hapak kain basah akibat takungan air busuk dalam tandas.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, penyewa terakhir merupakan peniaga baju bundle kerana banyak pakaian terpakai di dalam rumah tersebut, dan penyewa tidak menghuninya selepas menjadikan ia sebagai stor.

Hang Dhamin berkata, kos pembersihan dengan khidmat mengangkut sampah membabitkan tujuh lori sahaja berjumlah RM1,750 terpaksa ditanggung, tidak termasuk upah pekerja.

Di atas inisiatifnya sendiri, postingnya turut disertakan akaun bank sekiranya ada pihak yang sudi menyumbang untuk menampung kos pembersihan dan pembaikan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.