
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pesawah sepatutnya memulakan tanaman padi minggu ini, tetapi bekalan benih padi belum kelihatan di gudang pembekal sehingga kini.
“Malah, kelewatan bekalan benih padi ini juga menyebabkan pesawah membelinya dengan harga lebih mahal. Musim lalu, harga benih padi sekitar RM33 hingga RM35 sekampit dan kini mencecah RM40 sekampit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan minggu ini seperti dijanjikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Sallehhuddin Hassan.
Awal minggu ini, media melaporkan kira-kira 600 pesawah di Utan Aji bimbang kerana belum mendapat bekalan benih padi yang sepatutnya diterima minggu lalu untuk musim penanaman padi fasa kedua yang akan bermula awal bulan ini.
Sementara itu, Mohideen berkata, CAP juga bimbang bekalan 72,000 tan metrik benih padi setahun tidak mencukupi akibat kaedah tabur terus yang diamalkan pesawah kerana benih padi dimakan serangga perosak, diancam bencana banjir dan tidak tumbuh selepas ditabur.
Beliau juga bimbang masalah itu mungkin mendorong pembekal tidak bertanggungjawab menyorokkan benih padi.
“CAP menggesa kementerian mengkaji semula kaedah tabur terus yang diamalkan pesawah ketika ini kerana sistem itu memaksa mereka menggunakan lebih banyak benih padi dan menimbulkan berbagai masalah selepas ditabur.
“Justeru, CAP mencadangkan Mada dan Jabatan Pertanian membuat kajian serta tinjauan secara menyeluruh bagi mengenal pasti kawasan penanaman padi yang bermasalah agar persediaan awal dapat dilakukan bagi mengelak aktiviti mereka terjejas dan mengalami kerugian pada setiap musim penanaman.”