Bukan lubang tapi koyakan di kepala CEO Cradle Fund, saksi tukar keterangan

Bukan lubang tapi koyakan di kepala CEO Cradle Fund, saksi tukar keterangan

Saksi ke-11 berkata ia merupakan kesan koyakan yang dianggarkan tiga hingga empat sentimeter di bahagian kiri kepala mangsa.

Saksi ke-11, Stanley Sigau Nyalang (dua dari kiri) ketika hadir memberi keterangan di Mahkamah Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM:
Anggota bomba yang terlibat dalam operasi kebakaran rumah ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, hari ini tampil membetulkan kenyataannya semalam berhubung terdapat kesan lubang di bahagian kepala Nazrin Hassan.

Stanley Sigau Nyalang yang juga saksi ke-11 memberitahu Mahkamah Tinggi, ia merupakan kesan koyakan yang dianggarkan tiga hingga empat sentimeter di bahagian kiri kepala mangsa.

“Sebenarnya bukan lubang tetapi macam koyakan anggaran tiga hingga empat sentimeter.

“Saya nampak kesan luka itu semasa saya berdiri di bahagian kepala mangsa, tetapi saya tidak menyentuhnya, masa itu saya tidak lihat sebarang kecederaan lain, cuma kesan koyakan di kepala mangsa sahaja dan kesan tompokan darah di bawah kepala,” katanya ketika pemeriksaan utama timbalan pendakwa raya yang diketui Salim Soib @ Hamid Mohd.

Semalam, Stanley ketika membacakan keterangannya memaklumkan terdapat kesan lubang di bahagian kepala CEO Cradle Fund tersebut.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat juga kesan terbakar di bahagian muka, dada dan kaki sebelah kanan mangsa.

“Di bilik tempat kejadian, saya nampak satu badan seorang lelaki, di bahagian kepada mangsa saya dapati terdapat kesan lubang seperti dipukul,” katanya ketika membaca keterangan saksi semalam di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Bekas eksekutif kanan sebuah syarikat, Samirah Muzaffar dan dua remaja dituduh membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018 di kediaman mereka di Mutiara Damansara.

Ketika ini, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang juga disyaki terlibat dalam pembunuhan itu masih bebas.

Sementara itu, Muhammed Shafee Abdullah sewaktu sesi soal balas mewakili tertuduh dan dua remaja terbabit meminta Stanley menjelaskan bagaimana dia mengetahui koyakan itu kesan dipukul.

“Sebab koyakan itu panjang,” kata Stanley.

Shafee kemudian bertanyakan kepada Stanley adakah dia bersetuju bahawa luka berkenaan kesan dipukul hanyalah andaian, memandangkan saksi bukanlah pakar forensik.

Stanley kemudian mengakuinya dan memaklumkan ia dibuat berdasarkan andaiannya.

Dia juga bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa kecederaan mangsa boleh disebabkan pelbagai faktor lain.

Saksi turut memaklumkan, beliau tidak menyentuh mayat, sehingga pakar fotensik tiba untuk melakukan siasatan.

Perbicaraan bersambung petang ini dengan keterangan saksi awam yang juga bekas anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.