
Protes merebak ke bandar-bandar lain di selatan Iraq, kebanyakannya melibatkan penduduk. Polis berkata mereka mendapati semakin ramai yang menyertai protes mula membawa senjata.
Dua anggota polis dan dua penunjuk perasaan terbunuh lewat semalam di bandar Diwaniya kira-kira 160km (100 batu) dari selatan Baghdad, menurut polis.
Di bandar Hilla yang berdekatan seorang penunjuk perasaan dibunuh sehingga mati, menurut polis dan sumber hospital.
Tiga lagi maut di daerah Baghdad dan di tempat lain sementara ada penunjuk perasaan membakar kenderaan tentera, kata sumber keselamatan.
Protes, di mana lebih 600 orang turut cedera, bermula disebabkan masalah pengangguran dan perkhidmatan buruk tetapi berubah kepada tuntutan perubahan kerajaan dan menjadi salah satu cabaran keselamatan paling buruk.
Penunjuk perasaan kelihatan bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik dan tindakan mereka seolah-olah mengejutkan pasukan keselamatan.
“Peluru tidak menakutkan kita. Mereka tidak boleh menakutkan rakyat Iraq,” kata seorang penunjuk perasaan di ibu negara.
Sekurang-kurangnya 4,000 penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tayar Baghdad dan cuba berarak ke pusat Dataran Tahrir tetapi berhadapan dengan tembakan dan gas pemedih mata.
Polis menggunakan peluru hidup di daerah Zaafaraniya di Baghdad, di mana tiga penunjuk perasaan ditembak mati.
Polis berkata penunjuk perasaan menembak mereka di bandar Rifae berhampiran bandar selatan Nassiriya di mana tujuh orang terbunuh dalam satu malam dan satu lagi semalam. Lima puluh orang cedera di Rifae, termasuk lima polis, kata mereka.
Empat terbunuh dalam pertempuran di bandar selatan, Amara malam tadi.
Amnesty International menggesa kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi agar mengekang tindakan pasukan keselamatan dan menyiasat punca kematian penunjuk perasaan.
“Adalah keterlaluan apabila pasukan keselamatan Iraq berkali-kali menangani penunjuk perasaan dengan kekerasan, menggunakan kuasa mutlak dan ia tidak perlu. Adalah penting pihak berkuasa memastikan ada siasatan penuh yang bebas dan adil,” kata Lynn Maalouf, Pengarah Penyelidikan Timur Tengah Amnesty International.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan mengelak dari menggunakan kekerasan dan membenarkan protes secara aman diadakan.