Mengandung merupakan saat yang ditunggu semua pasangan yang berkahwin.

Tidak kiralah sama ada ia anak pertama atau anak yang ke berapa, namun momen ketika mengandung itu sememangnya sesuatu yang indah diikuti dengan ketidakstabilan emosi kepada semua ibu.
Jangan ingat masa haid sahaja berlakunya perubahan emosi walhal hormon turut berubah sepanjang tempoh kehamilan.
Keadaan ini cenderung menyebabkan gangguan kepada bahan kimia di dalam otak yang mengawal emosi dan mengakibatkan perubahan emosi yang tidak menentu.
Namun persoalannya takkan selama sembilan bulan “nak” kena hadap emosi isteri yang tidak stabil ini?
Perubahan yang berlaku melibatkan hormon ini jarang sekali berlaku sepanjang tempoh kehamilan.
Kebiasaannya ia berlaku pada trimester pertama, iaitu antara minggu ke-6 hingga 10 dan pada trimester ketiga sebelum proses kelahiran bayi.
Jadi untuk sepanjang tempoh itu diharapkan para suami boleh bersabar dan mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh menyebabkan isteri moody.
Perkara yang perlu dielakkan
1. Lupa ajak makan
Bab makan pun boleh dijadikan isu, okay? Jangan main-main dengan emosi wanita yang sedang mengandung ini.
Jadi sebaiknya elakkan daripada terlupa mengajak isteri untuk makan jika anda tidak mahu isteri moody.
Kalau anda makan diluar sekali pun, pastikan anda membungkus makanan untuk diberikan kepada isteri. Jangan lupa yer, dia sedang membawa zuriat anda.
2. Payudara
Tergoda dengan payudara isteri yang tampak montok? Namun awas! Jangan sesekali gatal menyentuh tanpa kebenaran jika tidak mahu menghadap “singa betina” mengamuk.
Perubahan pada payudara itu walaupun pada pandangan sebagai suami adalah sesuatu yang menarik tetapi hakikatnya perubahan itu mendatangkan ketidakselesaan dan menyebabkan ia menjadi lebih sensitif terhadap sentuhan.
3. Suhu badan
Jangan terkejut kalau isteri anda membuka “aircond” pada suhu yang paling rendah, sedangkan anda sudah menggigil kesejukan.
Ini kerana dikatakan kebanyakan wanita hamil akan berasa lebih panas daripada biasa dan keadaan ini disebabkan proses metabolisma badan yang lebih cepat menghasilkan haba.
Jangan pergi naikkan suhu “aircond” tanpa kebenaran jika tak mahu kena “sembur” dengan isteri.
4. Makanan
Aik, rasa macam ada beli roti tadi tapi mana pergi pulak? Haaa…situasi ini biasa berlaku.
Kadang kala apabila anda bertanyakan sama ada mereka ingin memakan sesuatu dan jawapan yang diterima adalah “tidak”.
Namun tidak sampai 5 minit, isteri anda mengatakan mereka lapar. Ikutkan sahaja kehendak itu kalau tidak mahu isteri moody.
5. Curi makan
Haaa…ini satu lagi berkenaan dengan makanan. Jangan memandai-mandai untuk makan makanan yang dibeli dan disimpan oleh isteri anda tanpa mendapatkan kebenaran mereka terlebih dahulu.
“Tapi” kalau anda buat jugak, terimalah padahnya kalau isteri tiba-tiba jadi moody.
6. Tidur
Jangan mengada-ngada mengganggu isteri yang sedang lena tidur.
Elakkan sama sekali kalau tidak mahu isteri moody.
Dalam keadaan isteri sedang hamil, ia adalah normal untuk mereka merasa letih dan tidak bertenaga.
Bersabar
Sepanjang tempoh kehamilan ini, sememangnya kesabaran anda sebagai suami akan sentiasa diuji.
Jadi, jangan mudah melenting. Banyakkan bersabar dan terima sahaja karenah moody isteri anda itu.
Lagipun anak yang dikandungkan itu adalah zuriat anda berdua jadi sangat wajar untuk anda sebagai suami bersabar dan melayan apa jua kemahuan dan kehendak isteri.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]