Ketua pengarah JAS lulus PSR pada hari terakhir bekerja?

Ketua pengarah JAS lulus PSR pada hari terakhir bekerja?

Penang Forum berkata, surat kelulusan PSR bertarikh 25 Jun bersamaan dengan tarikh persaraan ketua pengarah JAS Ahmad Kamarulnajib Che Ibrahim.

Surat kelulusan Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) yang menurut Penang Forum disediakan lebih awal dengan tarikhnya ditulis tangan.
GEORGE TOWN:
Sebuah kumpulan pendesak mempersoalkan sama ada tarikh kelulusan projek tiga pulau di Pulau Pinang yang bersamaan dengan hari terakhir bekerja ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim merupakan satu kebetulan.

Penang Forum berkata, surat kelulusan bertarikh 25 Jun itu bersamaan dengan tarikh persaraan beliau.

“Tarikh pada surat tersebut kelihatan ditulis tangan. Ini bermakna kelulusan itu disediakan lebih awal, kemudian anda menulis tarikhnya pada hari terakhir bekerja,” kata anggota jawatankuasa pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution.

Beliau berkata, surat yang dikeluarkan pada hari terakhir Kamarul Najuib berada di pejabat itu sama meragukan dengan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dalam tempoh dua hari bekerja” untuk projek itu sebelum ini.

“Nelayan membuat aduan bahawa JAS tidak langsung berunding dengan mereka dalam proses EIA kedua, walaupun bantahan utama adalah berkaitan kegiatan perikanan. Apakah ini satu lagi kelulusan pramatang?

“Kami berharap kementerian berkaitan akan tampil memberi penjelasan.”

Khoo juga merujuk kepada hantaran di laman Facebook JAS pada 25 Jun yang menunjukkan Kamarul Najuib mengucapkan selamat tinggal.

Ketua pengarah JAS Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim pada hari terakhir bekerja seperti dilihat pada gambar di laman Facebook jabatan itu bertarikh 25 Jun. (Gambar Facebook)

Surat sama dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew pada 5 Julai ketika mengumumkan kelulusan projek berkenaan.

Terdahulu, penyelidik Penang Forum Evelyn Teh berkata, projek PSR diluluskan dalam tempoh dua hari berdasarkan garis masa yang diambil daripada laporan dan kemas kini kerajaan negeri tentang projek berkenaan.

Dakwaan itu dinafikan oleh Chow sebagai “palsu”, selain menambah bahawa kerajaan mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan kelulusan JAS.

Khoo mempertahankan dapatan Evelyn dengan berkata, respons kerajaan adalah mengelirukan kerana ia turut memasukkan tempoh masa percubaan pertama kerajaan mendapatkan kelulusan JAS pada 2017.

Permohonan 2017 ditolak pada Ogos tahun lepas.

FMT telah menghubungi JAS bagi mendapatkan respons jabatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.