
“Kami mengekalkan posisi kami. Ia amalan biasa bagi perniagaan untuk menentukan kesediaan dan jenis pengiklanan pihak ketiga di platform masing-masing, disesuaikan mengikut keperluan pengguna dan maklum balas,” kata jurucakap syarikat dalam satu kenyataan hari ini.
Denda itu adalah tambahan kepada denda harian yang dicadangkan sebanyak RM15,000 mulai hari ini.
Grab berkata peguam syarikat sedang mengkaji keputusan yang dicadangkan dan perwakilan bertulis akan dikemukakan kepada MyCC pada 27 Nov.
MyCC mencadangkan GrabCar Sdn Bhd didenda RM86.8 juta kerana melanggar undang-undang anti-monopoli susulan penggabungan syarikat e-hailing itu dengan Uber.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail hari ini mengumumkan keputusan itu berdasarkan aduan terhadap Grab sejak ia mengambil alih perkhidmatan Uber di Malaysia tahun lalu.
Susulan penggabungan itu, Grab menjadi pemain utama dalam industri e-hailing tempatan.
Iskandar berkata suruhanjaya itu memberikan tempoh sebulan kepada Grab untuk membela diri.
“Grab menjadi sangat dominan dalam industri ini. Syarikat itu juga mempunyai klausa terhad yang menghalang pemandu mereka mempromosikan syarikat e-hailing lain di dalam kereta mereka.
“Perlu diingatkan, pemandu hanya memandu untuk Grab menggunakan kereta mereka sendiri dan mereka bukan pekerja Grab,” katanya.
Tahun lalu, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) mendenda Grab dan Uber sebanyak S$13 juta.
CCCS berkata denda itu dikenakan untuk “menghalang penggabungan yang telah selesai dan tidak dapat dipulihkan yang membahayakan persaingan”.
Julai lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata terdapat 31 pengendali e-hailing menyediakan perkhidmatan dan memberikan pilihan tambang murah.
“Jika ada kenaikan tambang, mereka mempunyai pilihan menggunakan perkhidmatan e-hailing yang lain dengan tambang murah.
“Kami tidak mahu industri ini dimonopoli dan harus ada persaingan. Sekiranya terdapat persaingan, tambang akan murah dan tiada syarikat e-hailing dapat menaikkan harga mereka sesuka hati,” katanya.