Fikir sebelum benar Gojek masuk, kata Pemuda Umno

Fikir sebelum benar Gojek masuk, kata Pemuda Umno

Kerajaan perlu mengambil lebih banyak masa untuk menimbangkan pro dan kontra langkah memperkenalkan Gojek.

Pakar berbeza pandangan tentang langkah membenarkan syarikat e-panggilan Indonesia, Gojek, masuk ke pasaran Malaysia.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal di negara ini.

“Tanggungjawab kerajaan bukan hanya memenuhi keperluan pengangkutan awam, tetapi juga memastikan keselamatan rakyat,” kata Pengarah Strategi Pemuda Umno, Wan Agyl Hassan.

“Jika berlaku kemalangan melibatkan motosikal dan kaedah pengangkutan lain, penunggang motosikal biasanya mengalami kecederaan lebih serius.”

Agyl, yang pernah mengetuai satu unit di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Darat memberitahu FMT, beliau percaya kerajaan perlu mengambil lebih banyak masa untuk menimbangkan pro dan kontra langkah memperkenalkan perkhidmatan tu.

“Rekod menunjukkan angka kematian kemalangan jalan raya yang tinggi melibatkan motosikal,” katanya.

“Bercakap sebagai pakar pengangkutan, saya tidak nampak bagaimana kita boleh mengurangkan angka tersebut.”

Wan Agyl Hassan.

Menurut beliau, Gojek belum mendedahkan statistik mangsa kemalangan melibatkan perkhidmatannya dan ini katanya, sudah memadai untuk membuat anggapan bahawa ia tidak berwibawa.

Beliau juga berkata, kerajaan masih berdepan masalah untuk melesenkan pemandu e-panggilan seperti Grab dan Foodpanda, dan masalah serupa akan dihadapi dengan Gojek.

“Jika kita membenarkan Gojek masuk, kita tidak boleh berpatah balik. Sebelum kita sempat mengenalinya, ia sudah pun menjadi sebahagian daripada ekosistem jalan raya kita.”

Seorang pakar pengangkutan lain bagaimanapun mengalu-alukan kemasukan Gojek sebagai satu “penyelesaian realistik” kepada keperluan pengangkutan negara ini.

Goh Bok Yen.

Goh Bok Yen, yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai perunding pengangkutan berkata, pengenalan perkhidmatan itu boleh mengatasi masalah untuk berulang-alik di bandar raya tanpa memburukkan lagi kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, kebimbangan tentang masalah keselamatan boleh diatasi dengan “melatih dan mendidik” pemandu.

“Didik mereka menjadi lebih bertanggungjawab dengan garis panduan keselamatan dan mewajibkan mereka menjalani ujian,” katanya.

Goh juga mencadangkan diwujudkan laluan khas motosikal bagi mengurus kesesakan dan menjamin keselamatan sekiranya Gojek diterima masuk ke Malaysia.

Kementerian Pengangkutan baru-baru ini berkata sedang mengkaji pandangan awam berhubung kemungkinan memperkenalkan teksi motosikal. Dapatannya belum diumumkan.

Statistik polis menunjukkan penunggang motosikal mewakili 60 peratus kematian kemalangan jalan raya tahun lepas.

DY Shin adalah pelatih di FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.