Ada saja perangai tidak masuk akal sesetengah orang lakukan hingga membuatkan orang ramai hanya mampu menggeleng kepala sebagai tanda sama ada sengaja tempah maut ataupun bodoh.

Seperti wanita dalam video ini sanggup melompat masuk ke kandang singa di sebuah zoo semata-mata hendak berinteraksi dengan singa tersebut.
Kejadian yang berlaku di zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat menyaksikan wanita itu berada di dalam kandang singa meskipun pihak zoo telah menyediakan pagar untuk melindungi haiwan-haiwan tersebut dan pengunjung.
Namun apa yang menghairankan bagaimana wanita itu berjaya melepasi pagar dan bertindak mengejek haiwan liar itu.
Menurut Daily Mail, video yang dirakam itu menjadi viral selepas ia dikongsi dalam akaun Instagram @realsobrino.
Dalam rakaman tersebut wanita yang memakai t-shirt berlengan pendek dan berseluar hitam dengan beraninya berdiri depan singa jantan Afrika.
Wanita itu kemudiannya dilihat mulai menggerakkan tangannya dan membuat tarian kecil seolah cuba “menyakat” singa tersebut.
Bagaimanapun nasib wanita boleh dikatakan sangat beruntung kerana singa jantan itu hanya tercegat tanpa melakukan apa-apa.
Berdasarkan laporan wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dengan singa tersebut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]