Polis: 5 saksi dipanggil bantu siasatan sekolah larang bacaan doa

Polis: 5 saksi dipanggil bantu siasatan sekolah larang bacaan doa

Polis Bukit Aman berkata, saksi itu terdiri daripada ibu bapa, pengadu dan hadirin dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar pada 27 September lalu.

Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR:
Polis sudah memanggil lima saksi untuk membantu siasatan ke atas larangan bacaan doa pada satu majlis di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Pulau Pinang, minggu lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, saksi itu terdiri daripada ibu bapa, pengadu dan hadirin dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar pada 27 Sept lalu.

Beliau berkata, polis menerima 10 laporan berkaitan isu terbabit setakat ini dan sembilan lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kami menerima satu laporan dari Kedah, satu laporan dari Selangor dan 8 laporan dari Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Jumaat lalu, seorang aktivis yang juga ahli perniagaan berumur 42 tahun membuat laporan polis mendakwa sekolah itu membaca doa berbentuk Kristian sebelum menyanyikan lagu kebangsaan pada Majlis Hari Kecemerlangan pelajar.

Dalam laporan polis yang dilihat FMT, lelaki itu mendakwa dia menerima maklumat daripada “beberapa orang tidak dinamakan” yang mendakwa sekolah itu melarangkan apa-apa bentuk bacaan doa Islam.

Beliau berkata, sekolah itu mempunyai 347 murid dan 24 guru beragama Islam serta 161 murid dan 14 guru bukan Islam.

“(Dengan membaca doa Kristian), sekolah dan lembaga gabenornya cuba menyebarkan agama Kristian dalam majlis sekolah yang bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.”

Pada 30 Sept lalu, Mior dilaporkan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan, iaitu disyaki mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan lain.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin dilaporkan berkata, peringatan tegas diberikan kepada pentadbir sekolah itu dan tindakan sedang dipertimbangkan terhadap mereka yang melanggar peraturan pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.