SPR nafi tarikh PRK Tanjung Piai ada niat tidak baik

SPR nafi tarikh PRK Tanjung Piai ada niat tidak baik

Pengerusi Azhar Harun berkata tarikh dipilih paling sesuai selepas mengambil kira faktor cuti umum dan hari minggu bagi Johor.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan ada niat tidak baik pada penetapan tarikh pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang dikatakan bertembung dengan Perhimpunan Agung Umno, lapor Utusan.

Pengerusi Azhar Azizan Harun berkata SPR mempunyai 60 hari dari tarikh kekosongan untuk menjalankan pilihan raya iaitu antara 24 September hingga 30 November.

Beliau menambah PRK hanya boleh diadakan pada Sabtu kerana rakyat Johor akan bersolat Jumaat pada hari Jumaat dan bekerja pada hari Ahad.

“Bermula hari ini terdapat lapan Sabtu yang boleh diadakan PRK,” katanya hari ini.

SPR mengumumkan hari penamaan calon pada 2 Nov (Sabtu) dan hari mengundi pada 16 Nov (Sabtu) dengan 14 hari berkempen manakala hari mengundi awal pula pada 12 Nov (Selasa).

Mengambil kira faktor cuti umum dan hari minggu bagi Johor, Azhar menjelaskan hanya tarikh 2 Nov dan 16 Nov paling sesuai untuk berpilihan raya memandangkan hari Sabtu lain akan bertembung dengan Hari Hol (5 Okt) dan sambutan Deepavali (27 Okt).

Azhar menambah PRK juga tidak boleh diadakan pada 23 Nov kerana itu hari terakhir dalam jangka waktu 60 hari, untuk memberi margin tujuh hari sekiranya berlaku apa-apa yang tidak membolehkan PRK dijalankan pada 16 Nov.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa hari ini dilapor berkata SPR sengaja menetapkan tarikh pengundian PRK Tanjung Piai ketika Umno sedang mengadakan Perhimpunan Agung Umno iaitu pada 13 hingga 16 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.