Saya dilatih ‘lindungi’ peranan Najib, Jho Low dalam 1MDB, kata bekas CEO

Saya dilatih ‘lindungi’ peranan Najib, Jho Low dalam 1MDB, kata bekas CEO

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, orang yang rapat dengan Najib melatihnya sebelum beliau disoal PAC, polis dan SPRM antara 2010 hingga 2016.

Low Taek Jho.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau dilatih untuk tidak menghebohkan peranan Najib Razak dan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.

Katanya, ia dilakukan orang yang rapat dengan Najib apabila beliau disoal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2010 hingga 2016.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low memberi “talking points” kepadanya menjelang satu mesyuarat PAC pada 2010.

“Dia turut mengatur pertemuan saya dengan dua ahli PAC Barisan Nasional sebelum sesi itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram.

“Seorang daripada mereka ialah Abdul Rahman Dahlan mengenai jenis soalan yang akan ditanya ahli PAC.”

Katanya, beliau disoal mengenai peranan Najib dan Jho Low dalam proses pembuat keputusan 1MDB.

“Pada asasnya, saya perlu melindungi mereka berdua.”

Beliau turut menyentuh mesyuarat PAC kedua pada 2015, di mana CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy memintanya tidak hadir.

“Arul memberitahu saya, ini adalah arahan Pejabat Perdana Menteri,” katanya sambil menambah ketika itu, beliau ke Singapura bercuti sehari.

Shahrol berkata, beliau menghadiri mesyuarat berikutnya, tetapi perlu menemui pegawai penjenamaan imej Najib, Farid Redzuan, terlebih dahulu.

“Ada satu siri mesyuarat dengan Farid, kedua-duanya sebelum dan selepas sesi dengan PAC.”

Katanya, mesyuarat PAC itu dihadiri beberapa ahlinya, termasuk Pengerusinya, Hasan Arifin.

“Ia bertujuan mempersiapkan saya untuk membincangkan apa yang akan terkandung dalam laporan akhir PAC.”

Beliau berkata, Hasan turut mengadakan mesyuarat peringkat tinggi yang memaklumkan akan ada serangan politik terhadap Najib berkaitan 1MDB.

Shahrol yang juga ahli lembaga pengarah 1MDB sehingga 2016 berkata, beliau menghadiri lima daripada enam wawancara dengan SPRM dan polis antara 2014 hingga 2015.

“Soal siasat polis berpusat kepada kelakuan lembaga pengarah 1MDB.”

Beliau berkata, Jho Low memberi “talking points” kepadanya sebelum pertemuannya dengan polis dan penyiasat SPRM.

“Jho Low memberi saya taklimat untuk tidak menghebohkan pembabitannya dan Najib dalam 1MDB serta SRC International.”

Shahrol berkata, beliau dibimbang untuk memaklumkan penyiasat yang serangan terhadap Najib bermotifkan politik.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ditangguh ke 7 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.