
Polis Lagos berkata, remaja dan wanita berusia 15 hingga 28 tahun itu, dibawa dari seluruh Nigeria dengan janji ditawarkan pekerjaan. Empat bayi turut ditemui.
Premis yang dikenali sebagai “kilang bayi” adalah umum di sebahagian timur Nigeria.
“Wanita muda kebanyakannya diculik suspek bagi tujuan menghamilkan mereka dan menjual bayi mereka kepada pembeli berpotensi.
“Gadis itu diperdaya dengan pekerjaan sebagai pembantu rumah di Lagos,” kata jurucakap polis Lagos, Bala Elkana.
“Bayi lelaki dijual pada harga 500,000 naira (AS$1,630) dan bayi perempuan pada harga 300,000 naira (AS$980).”
Remaja dan wanita itu dibawa ke Lagos dari negeri di timur dan selatan Nigeria, iaitu Rivers, Cross River, Akwa Ibom, Anambra, Abia dan Imo.
Elkana berkata, serbuan dijalankan pada 19 Sept lalu, tetapi dirahsiakan untuk membolehkan polis menahan suspek.
Dua wanita berusia 40 dan 54 tahun ditahan berhubung kes itu dan polis sedang mengesan suspek ketiga.
Seorang daripada mangsa yang dibebaskan itu berkata, dia dihamilkan teman lelakinya yang memberitahu ibu saudaranya mengenai pekerjaan untuk dia di Lagos.
Katanya, seorang wanita yang diperkenalkan kepadanya, bertindak mempercepatkan kelahiran anaknya ketika dia hamil tujuh bulan.
“Tiga hari selepas bersalin, polis menyerbu tempat itu dan menahan mereka semua. Bayi itu dilahirkan dalam keadaan lemah dan akhirnya meninggal dunia,” katanya kepada Reuters.
Elkana berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Nigeria akan mengambil alih kes itu dan sedang bekerjasama dengan agensi lain untuk menempatkan wanita, remaja serta anak mereka.
Minggu lalu, kira-kira 400 kanak-kanak dan lelaki, dengan ada yang hanya berusia lima tahun serta kebanyakan dirantai dan mempunyai parut dipukul, diselamatkan dari sebuah bangunan yang didakwa akan dijadikan sekolah agama di bandar utara Kaduna.