Najib beri saya bonus RM1.5 juta kerana prestasi baik, kata bekas CEO 1MDB

Najib beri saya bonus RM1.5 juta kerana prestasi baik, kata bekas CEO 1MDB

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata bonus 18 bulan itu diberi ketika gajinya RM80,000 sebulan.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi dalam kes pengubahan wang dan salah guna kuasa Najib Razak hari ini bahawa dia diberi bonus hampir RM1.5 juta pada 2012 kerana bekas perdana menteri itu gembira dengan prestasinya.

Beliau berkata bonus 18 bulan itu diberi ketika gajinya RM80,000 sebulan.

“Saya diberitahu bonus itu dibayar kerana Najib gembira saya mengawal keadaan dan sedar akan sebarang perubahan,” katanya ketika disoal pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram.

Shahrol berkata dia juga terima fi pengarah sebanyak RM179,000 setahun dan RM1,500 lagi setiap kali menghadiri mesyuarat lembaga 1MDB.

Katanya, gaji terakhirnya sebelum meletakkan jawatan CEO pada 2013 adalah RM99,000 sebulan.

Diminta menjelaskan bayaran bonus bagi 2012 itu, Shahrol berkata dia menerima panggilan daripada Najib.

“Najib tanya saya mengenai program tanggungjawab sosial korporat yang kami jalankan untuk Yayasan 1MDB,” katanya.

Shahrol menambah dia gembira dapat bercakap dengan Najib kerana “bukan semua orang dapat peluang bercakap secara langsung dengan perdana menteri.”

Beberapa hari kemudian, beliau berkata, ahli perniagaan Low Take Jho menghubunginya untuk memberitahu “bos (Najib) gembira dengan prestasinya”.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga berkata dia bertemu Najib di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu sebanyak 20 kali antara 2009 dan 2016.

Shahrol berkata dia pernah Low di situ “beberapa kali” tetapi bukan selalu.

Katanya, ahli perniagaan itu dan Najib nampak saling selesa antara satu sama lain.

Shahrol berkata dia menyimpulkan Low rapat dengan Najib kerana ahli perniagaan itu nampak biasa dengan susun atur kediaman itu serta ahli keluarga Najib.

Dalam perenggan terakhir kenyataan saksi, Shahrol berkata dia meletak jawatan sebagai CEO pada 2013 kerana dia menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap kelajuan transaksi kewangan 1MDB dijalankan.

“Tetapi Low beri alasan saya dikekalkan sebagai pengarah bagi mengekalkan persepsi awam yang positif mengenai 1MDB,” katanya.

Shahrol dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan pada 2009 bagi membangunkan program transformasi nasional dan menyelaraskan pelaksanaannya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah ditangguh ke Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.