
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kertas putih itu kini berada di “peringkat akhir”.
“Ia adalah dokumen pertama seumpamanya di negara ini. Kami merujuk negara-negara lain yang juga membangunkan Kertas Putih Pertahanan seperti Brunei, Australia, New Zealand dan Jerman,” katanya pada majlis penghargaan media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berkata, kementerian melibatkan pakar termasuk ahli akademik yang mengkhusus dalam pemerolehan pertahanan.
Kertas Putih Pertahanan akan menggariskan hala tuju dan strategi angkatan tentera, serta mengenai pembiayaan dan tenaga kerja.
Mohamad juga mengumumkan kementeriannya akan melancarkan Tabung Pahlawan untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia. Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah Ali.