Isu tak hormat Negaraku: Kumpulan Dayak bidas aktivis S4S tidak matang

Isu tak hormat Negaraku: Kumpulan Dayak bidas aktivis S4S tidak matang

Persatuan Warisan Terabai Kenyalang berkata, tindakan aktivis S4S itu menjejaskan imejnya sebagai penganjur majlis kutipan dana pada Jumaat lalu.

William Mangor (kiri) di luar sebuah balai polis di Kuching selepas memberi keterangannya hari ini.
KUCHING:
Penganjur sebuah majlis kutipan dana yang dihadiri sekumpulan aktivis enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan, membidas tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak matang.

Persatuan Warisan Terabai Kenyalang berkata, tindakan aktivis Sarawak For Sarawakians (S4S) itu menjejaskan imej persatuan berasaskan Dayak.

“Ada cara lain untuk menunjukkan protes mereka jika mereka tidak gembira dengan kerajaan persekutuan, tetapi janganlah tidak hormat lagu kebangsaan,” kata jurucakap kumpulan itu, William Mangor selepas memberi keterangan kepada polis yang menyiasat kejadian itu.

“Sarawak masih sebahagian daripada Malaysia dan tindakan mereka menjejaskan kami sebagai penganjur.”

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalatrash Wahid dilaporkan berkata, individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan boleh dikenakan hukuman penjara dan denda, jika sabit kesalahan di bawah Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tujuh ahli S4S.

Mangor berkata, walaupun jika lagu kebangsaan negara lain dimainkan, rakyat perlu berdiri sebagai tanda hormat.

“Saya tidak fikir kita akan gembira, jika orang lain tidak menghormati lagu kebangsaan kita.”

Beliau berkata, 160 tetamu yang terdiri daripada NGO dan aktivis menghadiri majlis kutipan dana itu pada Jumaat lalu, termasuk dari Semenanjung Malaysia.

Katanya, lagu kebangsaan dimainkan sebelum lagu negeri sebagai sebahagian daripada protokol.

“Bagaimanapun, ketika itu, saya tidak sedar ahli S4S tidak berdiri untuk lagu kebangsaan.”

S4S bagaimanapun mempertahankan tindakan ahlinya dengan berkata, ia adalah protes senyap untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Putrajaya yang gagal mengotakan janji terhadap Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.