
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang berkata pelancong perlu dibawa ke hotel mereka menggunakan “angkatan bas bagi kumpulan pelancong yang paling moden dan van mewah” sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Kita tidak patut beroperasi menggunakan model kenderaan sama yang digunakan 30 tahun lalu ketika Tahun Melawat Malaysia pertama pada 1990.
“Tetapi ini yang penumpang akan dapat jika pihak berkuasa tidak mengkaji semula dasar sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menggesa kerajaan mengkaji semula struktur cukai duti import dan eksais sedia ada serta permit import untuk membantu pengusaha menaik taraf kenderaan mereka.
Katanya, dasar sedia ada mengenai permit import, duti eksais dan import menyebabkan kenderaan persiaran mewah tidak boleh didapati di Malaysia atau terlalu mahal untuk pengusaha pelancongan.
Kebanyakan model kenderaan itu termasuk yang dipasang di luar Asean.
“Bagi Tahun Melawat Malaysia 1990, duti eksais dikecualikan bagi kenderaan dipasang dalam negara yang dilesenkan di bawah teksi limusin, dan banyak kereta salun Mercedes yang dilesenkan dan digunakan sebagai kenderaan pelancongan.”
Katanya, Matta sedang menyediakan senarai kenderaan yang boleh meningkatkan pengangkutan pelancongan ke tahap antarabangsa dan ia akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tan berkata, persatuan itu sudah membuat “12 cadangan” yang kebanyakannya untuk syarikat pelancongan domestik.
Ia termasuk insentif cukai baru dan lanjutan bagi cukai yang akan tamat; menurunkan kriteria kelayakan untuk membantu pemain industri baru dan kecil; serta pengurangan cukai penuh bagi kos membangun atau menaik taraf laman web untuk bersaing dalam e-dagang.
“Insentif lain yang dicadangkan bertujuan memacu pembangunan pelancongan luar bandar bagi manfaat masyarakat setempat,” katanya sambil menambah insentif menarik juga boleh ditawarkan untuk menjadikan Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang sebagai pangkalan bagi kapal persiaran yang boleh mewujudkan industri sokongan.