
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia hari ini, TH Plantations berkata, keputusan itu dibuat selepas ia menilai respons Azman terhadap satu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya sebelum ini.
“Selepas pertimbangan teliti, syarikat membuat keputusan memecat CFO berkenaan daripada jawatannya. Satu surat memaklumkan perkara itu telah dihantar kepadanya hari ini,” katanya.
Terdahulu dilaporkan TH Plantations menggantung tugas Azman dan mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepadanya berikutan dapatan audit forensik yang dijalankan.
Laporan dapatan itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Syarikat itu juga berkata, pada masa ini, penolong pengurus besar kewangan, Marliyana Omar dan pengurus kanan kewangan, Hamidah Hassan akan menjalankan tanggungjawab dan fungsi CFO.
Azman, 53, dilantik ke jawatan tersebut pada 2010.