Polis siasat dakwaan sekolah larang bacaan doa

Polis siasat dakwaan sekolah larang bacaan doa

Polis Bukit Aman berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan.

Polis berkata, satu laporan mendakwa Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Pulau Pinang melarang bacaan doa dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar baru-baru ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang melarang bacaan doa pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dimulakan selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu.

“Kes diterima pada 27 September, satu laporan polis diterima mendakwa beberapa individu hadir dalam satu majlis anugerah kecemerlangan di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di Pulau Pinang yang menyatakan dalam majlis tersebut bacaan doa tidak dibenarkan.

“Tetapi, bacaan doa dalam bentuk Kristian diadakan dalam majlis tersebut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan, iaitu disyaki mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap golongan lain.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Amin Senin dilaporkan berkata, pihaknya memberi amaran kepada pentadbir sekolah itu dan mempertimbangkan tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.