
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, Amal dipanggil selepas polis menerima satu laporan daripada Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid di Pulau Pinang semalam.
“Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 505C Kanun Keseksaan (cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Pada 23 Sept lalu, seorang lelaki ditembak mati kerana cuba menyerang dua anggota polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek berusia 25 tahun menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.

Keesokannya, Amal dalam sebuah ceramah di Kubang Kerian, Kelantan menyifatkan lelaki itu sebagai mati syahid kerana dia menyerang mereka yang didakwa menghina nabi.
Ia bagaimanapun berlawanan laporan yang mengaitkan kejadian itu kepada peletakan jawatan lelaki terbabit kerana terma pengambilannya ditukar kepada kontrak.
Pada 25 Sept lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai kejadian amuk itu yang dianggap boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Beliau menyifatkan ia sebagai kes terpencil dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan atau individu kerana suspek dipercayai terpengaruh dengan rakaman video bersifat ganas yang diterbitkan di Timur Tengah.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, polis sedang menyiasat pengguna laman sosial yang menyebarkan fitnah terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendakwa jabatan itu mengeluarkan 200,000 sijil kewarganegaraan baru.
“Kita sedang siasat akaun Facebook dan Twitter digunakan pemilik akaun Tengku Raja Alam Shah. Kita akan tengok hasil siasatan, tetapi setakat siasatan awal, kita yakin ia adalah akaun palsu diwujudkan untuk tujuan fitnah JPN.”
Semalam, Ketua Pengarah JPN, Ruslin Jusoh membuat laporan untuk menggesa polis mneyiasat pemilik akaun yang membuat dakwaan itu.