Pemimpin Puteri Umno nafi hasut isu kaum, agama dalam kes amuk

Pemimpin Puteri Umno nafi hasut isu kaum, agama dalam kes amuk

Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, dia hanya mahu menyampaikan ucapan takziah kepada lelaki yang mati ditembak polis itu menerusi ucapannya pada 24 Sept lalu.

Nurul Amal Mohd Fauzi (kanan) ditemani peguamnya, Hasnal Rezua Merican memberi keterangan lebih tiga jam di Bukti Aman hari ini.
KUALA LUMPUR:
Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi menafikan ucapannya dalam sebuah ceramah di Kubang Kerian, Kelantan bertujuan mengapi-apikan isu perkauman dan agama dalam kes kematian lelaki berparang yang mengamuk di Bayan Lepas, Pulau Pinang, minggu lalu.

Amal ketika memberi keterangan kepada polis berkata, dia hanya mahu menyampaikan ucapan takziah kepada lelaki yang mati ditembak polis itu menerusi ucapannya pada 24 Sept lalu.

“Saya sudah berikan kerjasama sepenuhnya kepada polis. Saya harap penjelasan saya jelas dan mengharapkan kebijaksanaan dan kewibawaan polis dalam mengendalikan kes ini secara adil.

“Niat saya cuma hendak sedekahkan al-Fatihah saja,” katanya selepas memberi keterangan lebih tiga jam di Bukit Aman hari ini.

Peguam, Hasnal Rezua Merican yang mewakili Amal berkata, fokus soal siasat polis sejak 11 pagi tadi membabitkan mukadimah ucapan anak guamnya yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Itu adalah fokus siasatan dan Nurul Amal sudah menjelaskannya. Saya percaya semua elemen dikatakan berunsur jenayah sudah kita perjelaskan dan yakin siasatan dapat disimpulkan anak guam saya tidak buat sebarang kesalahan jenayah.

“Perkara ini masih di peringkat siasatan dan saya tidak tahu bilakah ia akan siap. Sama ada ia akan dibawa serta-merta ke pendakwa raya ataupun sebaliknya, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang spekulasi.”

Beliau berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada polis, klip ucapan itu bukannya dirakam, sunting atau diedarkan anak guamnya.

Pada 23 Sept lalu, seorang lelaki ditembak mati kerana cuba menyerang dua anggota polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, suspek berusia 25 tahun menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.

Ia bagaimanapun berlawanan laporan yang mengaitkan kejadian itu kepada peletakan jawatan lelaki terbabit kerana terma pengambilannya ditukar kepada kontrak.

Pada 25 Sept lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak menyebarkan berita palsu mengenai kejadian amuk itu yang dianggap boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.