Malaysia perlu dasar fiskal jana pertumbuhan, kata bekas timbalan gabenor BNM

Malaysia perlu dasar fiskal jana pertumbuhan, kata bekas timbalan gabenor BNM

Malaysia tidak boleh bergantung pada dasar monetari untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Bekas timbalan gabenor BNM Lin See Yan berkata, dasar monetari baik untuk ekonomi dalam tempoh pendek, tetapi tidak menyelesaikan masalah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dengan berbaki lebih seminggu lagi menjelang pembentangan Belanjawan 2020, bekas timbalan babenor Bank Negara Malaysia (BNM), Lin See Yan berkata, Malaysia memerlukan dasar fiskal untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Katanya, negara tidak boleh bergantung kepada dasar monetari.

“Ini terutamanya apabila kadar faedah menjadi semakin rendah, (maka) kesan ke atas dasar monetari menjadi kurang efektif, jadi anda memerlukan dasar untuk menangani perbelanjaan pembangunan kerana ia adalah penting, dan kita memerlukannya,” katanya.

Lin berkata, negara ini dilabelkan sebagai ekonomi “sugar high” (rancak) dengan lonjakan monetari untuk pertumbuhan.

“Sugar high’ adalah baik untuk ekonomi untuk tempoh setahun dua, namun ia tidak menyelesaikan masalah. Kita tidak boleh bergantung pada dasar monetari untuk lonjakan pertumbuhan,” katanya.

Bagi Belanjawan 2020, Lim berpendapat kelas pertengahan di Malaysia memerlukan lebih banyak pelepasan cukai.

“Saya merupakan pejuang kelas pertengahan. Jika anda melihat gambaran keseluruhan hasil cukai pendapatan, golongan pertengahan tidak membayar tinggi seperti golongan berada, namun mereka membayar lebih banyak cukai lain seperti duti import dan cukai jualan.

“Ekonomi bergantung pada perbelanjaan (kelas pertengahan), namun lebih banyak anda (kelas pertengahan) berbelanja, lebih banyak cukai perlu dibayar. Namun, ilusinya, anda fikir anda membayar cukai yang kurang,” katanya.

Lin berkata, golongan kelas pertengahan membayar cukai lebih tinggi kerana golongan berada pergi ke luar negara dan tidak membayar cukai di Malaysia.

Dasar monetari merujuk kepada langkah mengubah kadar faedah dan mempengaruhi bekalan wang, sementara dasar fiskal melibatkan perubahan pada kadar cukai dan perbelanjaaan kerajaan untuk mempengaruhi permintaan agregat dalam ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.