
Tempoh darurat akan berakhir pada 9 Okt.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), Agus Wibowo berkata sekurang-kurangnya 30 orang maut dan 156 cedera dalam kejadian itu.
Kira-kira 700 bangunan rosak, kata beliau pada Ahad, dipetik Jakarta Globe.
Dianggarkan 250,000 orang, 27,119 di Ambon, kini tinggal di beberapa tempat perlindungan sementara termasuk di Hospital Besar Haulussy dan Hospital Besar Tulehu.
Pada Khamis, selain gempa bumi, tanah runtuh turut terjadi menyebabkan sekurang-kurangnya seorang mangsa tertimbus. Antara yang disahkan terkorban tiga kanak-kanak, sementara ramai yang terkorban akibat runtuhan di sekitar kota Ambon.
Indonesia merupakan negara kepulauan paling kerap dilanda gempa bumi di Asia Tenggara.
Ia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi berikutan kedudukannya dalam
“Lingkaran Api Pasifik” yang menyaksikan pentas tektonik berlanggar.
Tahun lepas gempa berukuran 7.5 magnitud dan tsunami yang berlaku selepas itu di Palu di pulau Sulawesi mengakibatkan 4,000 orang terbunuh atau hilang.
Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud di luar pantai Sumatra mengakibatkan tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di wilayah itu, termasuk kira-kira 170,000 di Indonesia.