
Pengarahnya David Chua berkata ini penting bagi memastikan penggunaan domestik kekal sebagai pemacu keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan ekonomi negara, terutama dalam ketidaktentuan pasaran ekonomi global masa kini.
Menurutnya, antara perkara teras pada hari ini adalah usaha menjana pertumbuhan dan merancakkan ekonomi yang bergantung kepada kegiatan di sektor swasta selain peranan kerajaan.
“Pada zaman ekonomi berkembang pesat (dahulu), kebanyakan sektor dilihat mencatat prestasi baik sama ada yang terlibat dalam pembuatan, infrastruktur dan sebagainya…tiada masalah besar terutamanya yang membabitkan peluang pekerjaan.
“Namun, fasa di mana ekonomi sedang mengalami sedikit penurunan atau penguncupan seperti dilihat sekarang, kerajaan harus mengkaji semula bagaimana sumber kewangan yang dikawal oleh sektor perbankan dapat diagihkan secara lebih adil,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, ini termasuk mengkaji bagaimana sektor perbankan yang mengawal sumber kewangan itu dapat disalurkan untuk menggalakkan perkembangan sektor-sektor yang berpotensi mencatat pertumbuhan.
“Sebagai contoh, kita dapat melihat sektor hartanah mewah mengalami pembekalan berlebihan sehinggakan ada hartanah mewah atau (unit-unit di) kompleks-kompleks perniagaan yang tidak terjual baik di kawasan Lembah Klang atau bandar-bandar besar lain di seluruh negara,” katanya.
Kerajaan juga perlu mengkaji untuk mewujudkan garis panduan sewajarnya bagi memperbanyakkan peluang memberi pinjaman lebih saksama kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi.
“Bagi sebuah negara yang ekonominya sedang membangun seperti Malaysia, kita tidak boleh menafikan kepentingan sektor-sektor sebegini kerana selain dapat membantu untuk mengembangkan ekonomi, sektor ini juga mampu untuk menjana pekerjaan yang banyak,” katanya.