2 artis popular antara 575 MP Indonesia angkat sumpah esok

2 artis popular antara 575 MP Indonesia angkat sumpah esok

Krisdayanti dan Mulan Jameela memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti (kiri) dan Mulan Jameela.
JAKARTA:
Dua artis popular Indonesia, antara 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang akan mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024, esok.

Dua artis popular itu, Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti, artis yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Dua menteri Indonesia ketika ini iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P, turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 Sept lepas, untuk dilantik sebagai anggota DPR.

Manakala Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Puan Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri, dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno) juga calon DPI-P, akan mengangkat sumpah sebagai anggota DPR dan akan melepaskan jawatan menterinya.

Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung, Prof H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo dijadualkan turut hadir pada majlis itu.

Jokowi, yang menang pada pilihan raya Presiden 2019, dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Okt ini.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Siti Fauziah berkata antara agenda yang dijadual bermula 8 pagi esok itu, adalah proses mengangkat sumpah 575 anggota DPR, 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 anggota MPR untuk penggal 2019-2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.